Polis siasat Tony Pua, Poay Tiong – KPN

POLIS membuka dua kertas siasatan berasingan membabitkan bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua dan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong berhubung dua isu berbeza yang mencetuskan perhatian awam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, siasatan terhadap Tony membabitkan hantaran Facebook berkaitan penyahklasifikasian dokumen pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, manakala kes Poay Tiong berkaitan kenyataannya mengenai penutupan premis ketika solat Jumaat di Kuala Terengganu.

Menurutnya, polis menerima 55 laporan berhubung hantaran Tony, manakala dua laporan diterima berkaitan kenyataan Poay Tiong.

Kata beliau, kedua-dua kes dikendalikan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Bagi kenyataan Ahli Parlimen Kota Melaka pula, dua laporan polis diterima dan kes disiasat mengikut peruntukan Seksyen 298 dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Khalid berkata, kedua-dua kes masih dalam peringkat siasatan dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses berkenaan.

Beliau turut mengingatkan semua pihak supaya tidak membangkitkan isu 3R membabitkan kaum, agama dan institusi diraja dalam apa jua bentuk sehingga boleh menjejaskan keamanan serta keharmonian masyarakat.

“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang dengan sengaja membuat atau menyebarkan kenyataan sehingga menimbulkan kegentaran awam,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here