POLIS Metropolitan Tokyo menahan lima warga Malaysia termasuk seorang wanita yang disyaki menyeludup kokain dalam kuantiti besar ke Jepun dengan menyembunyikan dadah itu di dalam kasut mereka, lpada 10 Oktober lalu.
Menurut polis, salah seorang suspek ditahan untuk pemeriksaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda dan menemui satu kilogram kokain yang disembunyikan di bawah tapak dalam kasut yang dipakainya ketika itu.
Isteri suspek tersebut dan beberapa rakannya turut ditahan kerana dipercayai terbabit dalam operasi penyeludupan dadah dari Malaysia ke Jepun, lapor Nippon News Network (NNN)

Secara keseluruhan, pihak berkuasa merampas kira-kira lima kilogram kokain yang disembunyikan dalam kasut kumpulan berkenaan, dengan nilai pasaran gelap dianggarkan mencecah 120 juta yen (kira-kira RM3.4 juta).
Ketika disoal siasat, suspek berkenaan bersama dua lagi suspek mengakui dakwaan melanggar Akta Kawalan Narkotik Jepun berkaitan pemilikan dadah untuk tujuan keuntungan.
Manakala suspek keempat mengakui dakwaan mengimport dadah untuk tujuan keuntungan, manakala suspek wanita (isteri suspek pertama) menafikan tuduhan terhadapnya.
Menurut polis, pegawai kastam pada mulanya menemui kokain di bawah tapak dalam kasut yang dipakai dua suspek ketika mereka tiba di Lapangan Terbang Haneda dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Selepas kedua-duanya memaklumkan bahawa mereka datang ke Jepun untuk melancong bersama beberapa individu lain, pegawai kastam memeriksa tiga lagi anggota kumpulan itu.
Pemeriksaan lanjut turut menemukan kokain yang disembunyikan dengan cara sama di dalam kasut mereka.
Polis Tokyo kini menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti kaitan kumpulan berkenaan dengan sindiket penyeludupan dadah antarabangsa yang lebih besar.





