
‘’CERIAT tentang asap ini, saya berangkat (untuk melanjutkan pelajaran) ke Mesir pada tahun 1998, sebelum itu pada tahun 1997, pandangan itu tidak nampak pokok-pokok kayu..itu 1997 sekarang 2026, tahun depan dah 30 tahun… dari kecil lagi sampailah tua ini asapnya.’’
Itulah pandangan Ustaz Abdul Somad dalam kuliah baru-baru ini ketika menyentuh mengenai kebakaran hutan di Indonesia yang kini mencetuskan jerebu di rantau ASEAN khususnya Malaysia dan Singapura.
Dalam nada tegas Ustaz Abdul Somad berkata, ‘’ Kalau naik pesawat sejauh mata memandang tak ada lagi hutan…sawit sahaja..kan bukan punya kita..Entah punya siapa…dibakar hutan itu..berapa anak yang meninggal kerana sesak nafas…berapa (ramai) yang pemadam (anggota pemadam kebakaran) disebabkan semangatnya (mahu memadam api) terkepung api (hingga) meninggal dunia…insha-Allah syahid mereka.’’
Sememangnya kebakaran hutan di negara itu semakin buruk…bukan kata buruk tetapi amat buruk..tetapi pemerintah Indonesia seolah-olah terus dengan keangkuhan mereka apabila Menteri Penyelaras Hal Ehwal Politik dan Keselamatan, Dudung Abdurachman berkata, Kabinet negara itu memutuskan tidak akan mengisytiharkan kejadian tersebut sebagai bencana nasional buat masa ini kerana kononnya mereka berupaya menangani krisis berkenaan.
Tidak cukup dengan itu Dudung turut memaklumkan mesyuarat itu yang dipengerusikan oleh Presiden Prabowo Sugiato semalam tidak membincangkan mengenai tawaran bantuan antarabangsa walaupun memahami kebimbangan negara-negara jiran.
Penulis tidak pasti apa yang dalam fikiran Prabowo dan Kabinet Indonesia yang seolah-olah ‘memekak telinga’ terhadap rintihan rakyat negara itu rantau ASEAN. Mereka ‘membutakan mata’ untuk memahami realiti bahawa Indonesia sudah tiada kemampuan lagi menanganinya.
Sikap angkuh pemerintah Indonesia itu terbukti apabila walaupun pada 8 Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata beliau telah menghubungi Prabowo berhubung isu jerebu berkenaan dan menyatakan kesediaan Malaysia untuk membantu memadamkan kebakaran.
Tetapi sehingga ke hari ini tidak ada jawapan dari negara yang sentiasa mahu melihat ia lebih besar, lebih hebat dan lebih berkemampuan dari Malaysia dalam menangani apa juga masalah termasuk bencana.
Semalam Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tawaran Malaysia itu merangkumi penghantaran sebuah pesawat, tiga helikopter dan 55 anggota bagi membantu operasi memadamkan kebakaran di kawasan berkenaan.
Beliau berkata, sebelum ini tawaran tersebut dikemukakan ketika lawatan rasmi beliau ke Jakarta sebelum ini, termasuk pertemuan dengan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto dan Naib Presiden, Gibran Rakabuming Raka.
“Kita menawarkan dengan ikhlas, tetapi tidak ada respons untuk kita membantu mereka. Kita ucapkan terima kasih. Dalam hal ini kita bersangka baik yang mungkin mereka tidak memerlukan bantuan kita. Saya katakan saya husnuzon…ya,” katanya di Ipoh.
Malaysia menawarkan pertolongan itu secara ikhlas dan percuma atas semangat persahabatan dan persaudaraan tetapi Pemerintah Indonesia seolah-olah merasakan martabat mereka jatuh jika menerima pertolongan Malaysia, sebaliknya mereka lebih bersedia menyewa pesawat memadam kebakaran dari Rusia walaupun melibatkan belanja jutaan ringgit.
Itu hak mereka untuk menyewa apa-apapun tetapi soalnya adakah masalah itu sudah selesai …TIDAK! Atas sebab itulah semalam, Ahli Suruhanjaya Keempat Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia, Daniel Johan, menggesa kerajaan negara republik itu mengisytiharkan kebakaran hutan dan tanah yang berlarutan itu sebagai bencana nasional serta bersikap terbuka terhadap bantuan antarabangsa, termasuk tawaran Malaysia untuk membantu memadamkan kebakaran.
Daniel berkata, skala krisis itu memerlukan kerjasama serantau dan penerimaan bantuan luar tidak sepatutnya dilihat sebagai satu kelemahan.
Kenyataan tersebut membuktikan Indonesia sudah tidak keupayan lagi. Rakyat Indonesia sendiri sudah bosan dengan sikap pemerintah negara itu. Mereka meluahkan perasaan dan kecaman di media sosial khususnya TikTok. Prabowo, menteri Kabinet dan pegawai kanan menjadi sasaran.
Pemerintah Indonesia mungkin mahu menjaga maruah dengan tidak menerima tawaran Malaysia tetapi tanpa mereka sedar bukan kata maruah mereka (Kabinet) malah maruah Indonesia kini ’tergadai’ akibat keangkuhan dan ‘kejahilan’ mereka menangani isu kebakaran tersebut.
Kejadian kebakaran hutan dan jerebu itu mendapat liputan seluruh dunia. Pelancong asing yang datang ke Malaysia dan Singapura juga tertanya-tanya kenapa Indonesia tidak melakukan tindakan konkrit untuk memastikan ia tidak berulang.
Sepertimana kata Ustaz Abdul Somad sudah 30 tahun masalah ini berlaku tetapi sehingga ke hari ini tidak ada penyelesaiannya. Paling membimbangkan kita ialah apabila Menteri Perhutanan, Raja Juli Antoni, memberi amaran bahawa pihak berkuasa perlu terus berwaspada untuk tempoh sebulan lagi, memandangkan hujan tidak dijangka turun di beberapa bahagian Indonesia sehingga pertengahan November atau Disember.
Kalau begitu keadaannya sudah pasti situsi yang dialami oleh Malaysia dan Singapura akan bertambah buruk. Rakyat kedua-dua negara terpaksa terus menanggung derita akibat keangkuhan Pemerintah Indonesia!





