Warga asing pandu tanpa lesen, kenderaan mewah turut disita

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan mengambil tindakan terhadap 498 daripada 3,741 kenderaan yang diperiksa sepanjang 1 Januari hingga 11 Oktober lalu, membabitkan pengeluaran 2,710 notis.

Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Jasyindar Singh Sidhu berkata, warga asing dikesan menggunakan kenderaan tanpa lesen sah untuk menjalankan pelbagai pekerjaan termasuk menjual aiskrim, menjual roti dan mengambil upah memotong rumput.

Malah, beliau berkata, pihaknya turut mengesan kenderaan mewah yang dipandu warga asing melanggar peraturan jalan raya sebelum disita.

“Warga Pakistan mencatatkan jumlah tertinggi pemandu warga asing yang diambil tindakan pada 2025, membabitkan 244 kenderaan dengan 1,091 notis dikeluarkan.

“Bagi 2026, sebanyak 197 daripada 1,683 kenderaan yang diperiksa membabitkan warga Pakistan diambil tindakan, dengan 888 notis dikeluarkan,” katanya pada sidang media di Seremban, hari ini.

Mengulas lanjut, Jasyindar berkata, kawasan Sikamat di Seremban dan Nilai dikenal pasti sebagai lokasi yang kerap mencatatkan kesalahan jalan raya membabitkan warga asing, khususnya dari Pakistan, Indonesia dan Bangladesh.

Katanya, pada 2025, sebanyak 374 kes membabitkan motosikal, 205 kes kereta, 121 kes kenderaan perkhidmatan awam dan 46 kes kenderaan perdagangan barangan direkodkan.

Bagi tempoh Januari hingga 11 Oktober tahun ini, sebanyak 313 kes membabitkan motosikal, 149 kes kereta dan 36 kes kenderaan perdagangan barangan direkodkan.

Beliau berkata, antara kenderaan mewah yang disita ialah sebuah Toyota Vellfire dipandu warga Bangladesh, dua Mercedes A250 masing-masing dipandu warga Pakistan dan China serta sebuah BMW Limousine dipandu individu etnik Rohingya.

Menurutnya, kebanyakan warga asing terbabit menggunakan kenderaan yang dipinjam daripada rakan atau disewa daripada warga tempatan.

Justeru, beliau mengingatkan semua pemilik dan pengguna kenderaan supaya memastikan kenderaan yang digunakan di jalan raya mematuhi peraturan ditetapkan.

“Bukan sahaja warga asing, pihak kami juga akan mengambil tindakan terhadap pemilik kenderaan, sama ada majikan atau individu persendirian, yang dikesan melanggar peraturan,” katanya, lapor BH.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here