Laporan ujian MySiren dibentang kepada Jemaah Menteri, titik buta dikenal pasti

KERAJAAN akan menyediakan laporan menyeluruh berhubung ujian Sistem Amaran Awal Nasional (MySiren) yang dilaksanakan hari ini, termasuk mengenal pasti kawasan titik buta yang berisiko tidak menerima notifikasi kecemasan.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, laporan berkenaan akan disediakan dalam bentuk Nota Jemaah Menteri bagi memaklumkan hasil ujian serta perkara yang memerlukan perhatian untuk penambahbaikan sistem itu.

Katanya, penilaian menyeluruh perlu dilakukan terlebih dahulu memandangkan ujian berkenaan baru sahaja selesai dilaksanakan sebelum sebarang rumusan dibuat.

“Kita akan dapatkan maklumat menyeluruh. Sekarang ini baru tiga jam daripada waktu ujian itu dijalankan dan saya akan sediakan Nota Jemaah Menteri untuk memaklumkan hasil daripada ujian yang dilakukan pada hari ini.

“Dalam laporan itu nanti sudah pasti kita akan maklumkan mengenai isu-isu yang berbangkit termasuk apa disebut sebagai titik buta,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan sesi penutupan Bengkel Pengurusan Barangan dan Perkhidmatan Terlarang dalam Talian anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di ibu negara hari ini.

Orang ramai hari ini menerima notifikasi kecemasan menerusi ujian MySiren yang dilaksanakan serentak di seluruh negara bermula jam 10.10 hingga 10.30 pagi.

Ujian itu bertujuan menilai keupayaan sistem berkenaan menyalurkan notifikasi kecemasan dengan pantas terus ke telefon bimbit pengguna.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, penyampaian maklumat ketika bencana tidak bergantung sepenuhnya kepada sistem amaran awal kerana kerajaan turut menyediakan beberapa mekanisme alternatif bagi memastikan maklumat sampai kepada orang ramai.

Antaranya termasuk pemasangan siren oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di kawasan sungai serta penghantaran khidmat pesanan ringkas (SMS) oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Selain itu, Jabatan Penerangan turut menggunakan kemudahan Info On Wheels untuk menyampaikan hebahan secara langsung menerusi unit siar raya, khususnya di kawasan yang mengalami gangguan bekalan elektrik sehingga menjejaskan operasi menara telekomunikasi.

“Maka ada cara-cara alternatif untuk kita sampaikan maklumat ke kawasan itu,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here