PM tidak lupa jasa pemandu teksi ketika lalui detik sukar 1998

DATUK Seri Anwar Ibrahim menegaskan kebajikan pemandu teksi akan terus diberi perhatian sebagai menghargai sokongan golongan itu ketika beliau melalui detik sukar pada 1998.

Perdana Menteri berkata, pemandu teksi antara kelompok yang terus memberikan sokongan kepadanya ketika berdepan penahanan, kekerasan fizikal dan dipenjarakan, justeru sumbangan mereka tidak seharusnya dilupakan selepas beliau menerajui kerajaan.

“Masa saya susah, kena terajang, kena pukul, masuk lokap, orang ini yang bantu saya! Takkan bila dah jadi Perdana Menteri, orang (pemandu teksi) minta RM1,000 saya nak kata tak boleh?” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Pemberian Bantuan Khas Kewangan kepada pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah di Kementerian Pengangkutan di Putrajaya hari ini, lapor Buletin TV3.

Majlis itu turut dihadiri Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramly.

Anwar berkata, pemandu teksi kini berdepan cabaran yang semakin besar susulan persaingan daripada perkhidmatan e-hailing seperti Grab, sekali gus menjejaskan sumber pendapatan sebahagian daripada mereka.

Menurut beliau, kerajaan mengambil kira keluhan yang disuarakan golongan berkenaan dalam usaha mencari pendekatan bersesuaian untuk mengurangkan beban yang ditanggung.

Katanya, meskipun kerajaan tidak dapat menyelesaikan setiap masalah yang dihadapi pemandu teksi, pelbagai inisiatif masih boleh dilaksanakan bagi membantu meningkatkan kesejahteraan mereka.

“Kita tak boleh selesaikan semua masalah, tak boleh. Tetapi kita boleh bagi ringankan beban,” katanya.

Beliau turut memaklumkan beberapa cadangan telah dibincangkan bagi membantu golongan itu, termasuk kemungkinan kerjasama dengan Proton, kemudahan pinjaman serta penggunaan hasil bidaan nombor pendaftaran kenderaan untuk membiayai bantuan.

Pada majlis berkenaan, kira-kira 500 pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah menerima baucar bantuan bernilai RM1,000 seorang menerusi Program Bantuan Khas Kewangan.

Bantuan itu merupakan antara inisiatif yang diumumkan ketika pembentangan Belanjawan 2027 pada 9 Oktober lalu bagi meringankan beban golongan pengangkutan awam berkenaan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here