Mengapa IPU cecah 200 baru sekolah ditutup, Ini penjelasan Fadhlina..

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil pendekatan berhati-hati dalam menentukan operasi sekolah ketika negara berdepan masalah jerebu, dengan kembali berpandukan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) selepas mendapatkan pandangan agensi berkaitan.

Menterinya, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, keputusan itu dibuat dengan mengambil kira aspek keselamatan dan kesihatan murid, susulan kebimbangan yang dizahirkan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, berhubung keadaan jerebu yang melanda negara.

DATUK Seri Fadhlina Sidek mengadakan perbincangan bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) berhubung situasi jerebu semasa pada Selasa lalu. GAMBAR: Facebook Fadhlina Sidek

“Apabila Sultan Ibrahim menzahirkan kebimbangan mengenai keadaan jerebu, sudah tentu kita ambil perkara ini secara serius,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Fadhlina berkata, KPM menerima pelbagai pandangan daripada ibu bapa berhubung keputusan penutupan sekolah, termasuk permintaan supaya sekolah ditutup selama seminggu serta kebimbangan terhadap pembelajaran anak-anak.

“Ada minta tutup sekolah seminggu. Ada yang risau anak-anak makin tertinggal pelajaran. Ada juga pening kepala sebab kena pergi kerja, tetapi tiba-tiba sekolah tutup dan tiada siapa hendak jaga anak di rumah.

“Setiap keluarga (ada) cabaran masing-masing. Setiap pandangan diberikan tentu ada sebabnya. Cuma apabila kita hendak membuat keputusan membabitkan berjuta-juta anak, ada perkara yang kita kena fikir secara serius,” katanya.

Beliau menjelaskan, pengurusan jerebu bukan sekadar menentukan sama ada sekolah perlu dibuka atau ditutup, sebaliknya memerlukan pertimbangan berdasarkan kepakaran agensi berkaitan, termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

GAMBAR: Facebook Fadhlina Sidek

“Setiap agensi ini memiliki kepakaran dan tanggungjawab masing-masing. Sebab itu saya panggil semula agensi berkaitan untuk duduk semeja. Kita perlu melihat semula keputusan dengan mendapatkan pandangan mereka yang lebih arif,” katanya.

Menurutnya, selepas mengambil kira pandangan agensi berkenaan, KPM memutuskan untuk kembali menggunakan ketetapan dalam PTJK, selaras dengan pandangan NADMA bahawa pengurusan jerebu perlu berpandukan pelan itu.

Fadhlina berkata, meskipun bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 150 sudah berada dalam kategori tidak sihat dan kebimbangan ibu bapa pada tahap itu berasas, setiap tahap bacaan memerlukan tindakan berbeza.

“Kita tidak boleh menganggap semua tahap risiko memerlukan tindakan sama. Contoh, apabila IPU melebihi 100, semua aktiviti luar bilik darjah dihentikan. Anak-anak tidak perlu keluar untuk bersukan atau buat aktiviti di padang.

“Langkah ini untuk mengurangkan pendedahan kepada jerebu, walaupun risiko kesihatan masih ada. Apabila IPU mencecah 200, sekolah ditutup serta-merta,” katanya.

Beliau berkata, PTJK bukan pelan baharu kerana negara sudah mempunyai panduan kebangsaan bagi menguruskan keadaan jerebu.

Bagaimanapun, katanya, KPM turut memberikan kelonggaran kepada ibu bapa yang bimbang keadaan jerebu boleh menjejaskan kesihatan anak mereka, khususnya murid yang mempunyai masalah kesihatan seperti asma dan gangguan pernafasan.

“Bukan semua anak mempunyai keadaan kesihatan sama. Ada menghidap asma, ada mempunyai masalah pernafasan dan ada lebih mudah terkesan dengan jerebu. Sebab itu kita tambah satu lagi kelonggaran. Kalau ibu bapa berasa keadaan jerebu boleh menjejaskan kesihatan anak, mereka dibenarkan untuk tidak menghantar anak ke sekolah. Cuma maklumkan kepada pihak sekolah.

“Saya tahu, bagi ibu bapa kesihatan anak-anak bukan perkara yang boleh dikompromi. Saya juga melihatnya begitu,” katanya.

Pada masa sama, Fadhlina berkata, KPM juga perlu memastikan murid tidak terus kehilangan masa pembelajaran ketika berdepan situasi jerebu.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here