KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) menggesa penganjur serta panel hakim tampil memberikan penjelasan terbuka berhubung keputusan acara lumba jalan kaki pada Kejohanan Junior Development Programme (JDP) di Stadium Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) pada 14 November lalu.
Menterinya, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, atlet dan ibu bapa berhak mengetahui asas serta proses penentuan keputusan pertandingan itu susulan rakaman video yang tular dan mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan orang ramai.
Menerusi hantaran di Threads, beliau mengakui memahami kekecewaan ibu bapa selepas menonton sendiri rakaman pertandingan berkenaan.
“Saya dah tengok video lumba jalan kaki 800 meter di JDP Siri 3, UPNM, 14 November lalu. Saya faham rasa terkilan ibu bapa.
“Saya mahu penganjur dan panel hakim memberi penjelasan terbuka kepada atlet dan ibu bapa. Mereka berhak tahu bagaimana keputusan itu dibuat,” katanya dalam hantaran itu.
Beliau dalam masa sama menjelaskan kejohanan berkenaan dianjurkan Persatuan Lumba Jalan Kaki Malaysia dengan kerjasama Persatuan Olahraga Wilayah Persekutuan, bukannya anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) atau Kementerian Pendidikan (KPM).
Media hari ini melaporkan, bapa kepada seorang kanak-kanak berusia lapan tahun, Wafiyya, tetap memperjuangkan nasib anaknya selepas bantahan terhadap keputusan acara jalan kaki 1,200 meter sempena JDP 2026 baru-baru ini ditolak.
Bantahan itu dikemukakan susulan dakwaan berlaku insiden peserta lain memintas Wafiyya ketika perlumbaan berbaki kira-kira 50 meter sebelum garisan penamat.
Menerusi hantaran yang dikongsikan, bapa kanak-kanak itu yang dikenali sebagai Anas mendakwa, anaknya dipintas seorang peserta yang memakai jersi oren sebelum menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.
Perlumbaan yang berlangsung di UPNM pada 14 November lalu itu turut mencetuskan perhatian selepas Anas mendakwa kejadian seumpama itu pernah berlaku kepada anaknya sebelum ini.
Rakaman video perlumbaan itu turut tular dalam media sosial serta mendapat komen netizen yang rata-rata mengecam keputusan tidak adil kepada kanak-kanak perempuan itu.





