HUJAN lebat melanda Istanbul dan beberapa bandar lain di Turkiye pada Rabu menyebabkan banjir kilat yang mengorbankan dua individu selain menenggelamkan jalan raya serta merosakkan kenderaan.
Cuaca buruk itu mendorong Gabenor Istanbul melaksanakan langkah kecemasan termasuk menggantung sesi persekolahan secara bersemuka di semua institusi pendidikan awam dan swasta pada Khamis.
Pihak berkuasa turut memberikan cuti pentadbiran kepada kakitangan sektor awam tertentu serta melarang penggunaan motosikal dan kenderaan di jalan raya pada Rabu sehingga arahan lanjut dikeluarkan.
Penduduk dinasihatkan supaya berada di dalam rumah kecuali jika terdapat keperluan mendesak. Mereka yang tinggal di tingkat bawah pula disaran berpindah ke aras lebih tinggi dan selamat.
Pihak berkuasa turut memberi amaran supaya orang ramai mengelakkan tebing sungai, terowong dan kawasan yang mudah dilanda banjir.
Menerusi laporan, seorang kanak-kanak lelaki berusia 14 tahun maut akibat renjatan elektrik selepas terpijak lopak air di Taman Cukurbostan, kawasan kejiranan Balat di Istanbul.
Seorang lagi mangsa berusia 34 tahun dilaporkan meninggal dunia selepas tergelincir mengakibatkan kepalanya terhantuk ketika melintasi jalan yang dinaiki air di kawasan kejiranan Ayazaga, bandar itu.
Menurut media Turkiye, Pusat Penyelarasan Bencana Istanbul (AKOM), mengaitkan cuaca buruk itu dengan jisim udara sejuk yang bergerak dari Balkan serta sistem cuaca yang membawa hujan dari kawasan Mediterranean tengah.
Sementara itu, Pejabat Konsul Malaysia di Istanbul memaklumkan, tiada rakyat Malaysia terjejas akibat banjir di Turkiye dan pihak konsulat memantau rapat keadaan itu bagi memastikan keselamatan rakyat Malaysia di bandar berkenaan.
Konsul Malaysia di Istanbul, Mardhiah Sabri berkata, sehingga tengah hari waktu tempatan, tiada rakyat Malaysia dilaporkan terjejas secara serius.
“Konsulat juga terus berhubung rapat dengan wakil komuniti Malaysia dan persatuan pelajar bagi memastikan bantuan konsular dapat diberikan dengan segera sekiranya diperlukan.
“Nasihat keselamatan turut dikeluarkan menerusi saluran rasmi konsulat,” katanya kepada Buletin TV3.
Beliau berkata, hujan lebat sejak kelmarin menyebabkan beberapa kawasan di Istanbul dinaiki air, sekali gus menjejaskan jalan raya dan kawasan perumahan.
Antara kawasan paling teruk terjejas ialah Beykoz, Sarıyer dan Eyüpsultan yang merekodkan jumlah hujan tertinggi, selain Esenyurt dan Kağıthane.
Mardhiah menasihatkan rakyat Malaysia yang berada di Istanbul, termasuk mereka yang merancang untuk berkunjung ke bandar itu, supaya mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan serta mengikuti nasihat keselamatan yang dikeluarkan menerusi saluran rasmi konsulat.
Mereka turut dinasihatkan supaya menjauhi kawasan banjir, laluan bawah tanah dan ruang bawah tanah bangunan, serta tidak cuba meredah jalan yang dinaiki air.
“Rakyat Malaysia yang dijadualkan berlepas ke Istanbul dinasihatkan supaya menyemak status penerbangan masing-masing dengan syarikat penerbangan sebelum bertolak ke lapangan terbang.
“Konsulat Jeneral Malaysia di Istanbul akan terus memantau perkembangan semasa dengan kerjasama pihak berkuasa Turkiye serta menyalurkan maklumat terkini kepada rakyat Malaysia,” katanya.





