SEORANG pegawai kerajaan wanita berusia 35 tahun maut selepas dipercayai ditikam suaminya di sebuah unit kuarters kediaman kakitangan kerajaan di Nilai malam ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, mangsa yang juga petugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dipercayai dibunuh sebelum suaminya berusia lingkungan 30-an menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang sekitar pukul 8 malam.
Difahamkan, kes diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai sebelum anggota polis bertugas tiba di lokasi kejadian untuk siasatan lanjut.
Pasangan terbabit dipercayai mempunyai dua anak perempuan yang masih bersekolah tadika.
Sehingga jam 11 malam, polis termasuk Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan masih menjalankan siasatan di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Johari Yahya ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan butiran lanjut akan disampaikan dalam masa terdekat.





