SERAMAI 14 individu ditahan bagi membantu siasatan kes pecah rumah di Taman Sejati, Cyberjaya, dengan polis masih menyiasat penglibatan mereka dalam kejadian itu.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, pihaknya menerima laporan polis berhubung kejadian berkenaan.
Menurutnya, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diperoleh, suspek dipercayai seorang lelaki yang identiti serta kewarganegaraannya masih belum dikenal pasti.
“Suspek dipercayai memakai pakaian yang menutupi sebahagian muka serta bertopi semasa kejadian berlaku,” menurut kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti penglibatan 14 individu yang ditahan dalam kes berkenaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda, manakala kesalahan melibatkan kecurian boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 14 tahun, jika sabit kesalahan.
Polis turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan siasatan.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Sarjan Muhammad Fizal, menerusi talian 012-345 6333 atau hadir ke balai polis berhampiran.




