Makmal proses dadah sintetik bernilai RM18.19 juta diserbu di Masai, Permas Jaya

POLIS berjaya mematahkan kegiatan sindiket dadah selepas menemukan makmal pemprosesan dadah sintetik serta merampas bahan terlarang bernilai RM18.19 juta dalam operasi di Masai dan Permas Jaya pada 1 Oktober lalu.

Serbuan yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) itu turut membawa kepada penahanan tiga individu tempatan terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita berusia antara 17 hingga 22 tahun.

Pengarah JSJN, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, sindiket terbabit dipercayai menggunakan dua lokasi berasingan bagi menjalankan kegiatannya, iaitu rumah kedai untuk menyimpan bahan prekursor dan peralatan pemprosesan, manakala sebuah rumah teres dijadikan tempat memproses dadah.

Menurut beliau, berdasarkan jumlah dan jenis peralatan yang ditemukan, polis percaya makmal dadah haram ini masih dalam peringkat persediaan sebelum beroperasi sepenuhnya.

“Jika tidak dikesan lebih awal, makmal ini berpotensi menghasilkan dadah dalam kuantiti besar untuk pasaran tempatan dan antarabangsa,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di Johor Bahru hari ini, lapor BH.

Hussein berkata, siasatan awal turut menunjukkan kemungkinan sindiket berkenaan mempunyai hubungan dengan rangkaian antarabangsa.

Polis kini giat mengesan beberapa lagi individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan itu. Malah, pihak berkuasa percaya individu yang memiliki kepakaran kimia untuk memproses dadah berkenaan masih belum tiba ketika serbuan dilaksanakan.

Beliau berkata, antara bahan terlarang yang dirampas dalam operasi itu adalah 106.84 kilogram serbuk methylenedioxymethamphetamine (MDMA), selain 14 liter cecair MDMA dan 23 liter cecair ganja.

Polis turut menemukan 122.14 gram serbuk ekstasi serta 7.56 gram pil Eramin 5, katanya.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing mendapati dua daripada tiga individu yang ditahan positif methamphetamine.

Semakan lanjut juga mendapati ketiga-tiga suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, tambah beliau.

Hussein berkata, kejayaan mengesan lokasi tersebut sebelum makmal beroperasi sepenuhnya dilihat penting dalam usaha membendung pengeluaran dadah sintetik berskala besar yang berpotensi membekalkan pasaran tempatan dan luar negara.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here