TAKTIK sindiket pengedaran dadah yang menjadikan perniagaan penukaran wang (money changer) sebagai medium pengubahan wang haram terbongkar selepas 19 individu ditahan dalam operasi bersepadu di sekitar Lembah Klang pada 16 April lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kesemua yang ditahan terdiri daripada 12 lelaki dan tujuh wanita termasuk dua warga China, berusia antara 24 hingga 48 tahun.
“Operasi bermula dengan serbuan di sebuah apartmen di Taman Wahyu sebelum membawa kepada penahanan dua individu serta rampasan pelbagai jenis dadah dan peralatan memproses bahan terlarang.
“Antara dadah yang dirampas adalah pil ekstasi seberat 0.89 kilogram (kg), ketamin (0.69 kg), Erimin 5 (0.46 kg) dan serbuk MDMA seberat 6.5 kg,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.
Hussein berkata, hasil maklumat dan risikan lanjut membawa kepada beberapa siri serbuan di sekitar Kuala Lumpur dan Kepong yang turut menahan baki suspek serta merampas pelbagai jenis dadah.
“Dalam serbuan di sebuah apartmen di Kepong, polis menemukan 31 kg ketamin dan 3.8 kg Erimin 5 yang dipercayai disimpan sebagai stok untuk pasaran tempatan,” katanya.
Tambah beliau, siasatan mendapati sindiket berkenaan aktif sejak awal tahun ini dengan menjadikan unit apartmen sebagai lokasi memproses dan menyimpan dadah sebelum diedarkan di sekitar Lembah Klang.
“Kita percaya salah seorang suspek merupakan dalang utama, manakala suspek lain bertindak sebagai pembantu serta berperanan sebagai penjaga stor dan ‘runner’,” jelasnya.
Dalam operasi sama, Hussein berkata, polis turut merampas wang tunai mata wang pelbagai negara berjumlah kira-kira RM4.9 juta yang dipercayai hasil kegiatan pengedaran dadah.
“Secara keseluruhan, jumlah rampasan dadah dianggarkan bernilai RM3.1 juta melibatkan 31.8 kg ketamin, 4.2 kg Erimin 5, 0.89 kg pil ekstasi dan 6.5 kg MDMA, selain beberapa kenderaan yang menjadikan nilai keseluruhan rampasan dan sitaan mencecah RM14.15 juta.
“Dadah yang dirampas ini dianggarkan mampu menjejaskan kira-kira 151,000 pengguna,” katanya.
Beliau berkata, ujian saringan awal mendapati tiga suspek positif dadah, manakala lima lagi mempunyai rekod jenayah lampau.
“Empat suspek direman selama tujuh hari bermula 17 hingga 23 April, tujuh lagi dikenakan tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985, manakala lapan individu dibebaskan dengan jaminan polis.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.


