BEKAS Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan Leftenan Jeneral (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal dilantik sebagai Fasilitator Kerajaan Malaysia bagi Proses Dialog Damai Selatan Thailand yang baharu.
Majlis Keselamatan Negeri (MKN) dalam kenyataan berkata, Norihan berpengalaman lebih 33 tahun dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
‘’Beliau yang menjadi Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan dari 1 Ogos 2020 hingga 30 November 2023 memiliki kepakaran dalam perisikan strategik, risikan pertahanan, analisis keselamatan dan pengurusan operasi di peringkat nasional serta antarabangsa,’’ kata MKN
Menurut MKN, Norihan memulakan kerjaya sebagai Pegawai Kerahan di Rejimen 502 Askar Wataniah pada 15 Mei 1987 sebelum menyertai Kor Risik Diraja pada 10 Oktober 2002.
‘’Kepimpinan beliau memperkukuh keupayaan perisikan pertahanan, menyelaras penilaian strategik serta membekalkan maklumat risikan bagi menyokong keputusan kepimpinan tertinggi negara dan ATM,’’ kata kenyataan itu.
Menurut MKN, kerajaan yakin bahawa pengalaman, kewibawaan dan kepimpinan Ahmad Norihan akan terus memperkukuh peranan Malaysia sebagai Fasilitator yang mendapat kepercayaan semua pihak di samping memberikan momentum baharu kepada Proses Dialog Damai Selatan Thailand melalui pendekatan yang lebih menyeluruh dan berorientasikan penyelesaian.
‘’Pelantikan beliau turut mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dalam memudah cara dialog yang konstruktif serta menyokong usaha ke arah penyelesaian yang aman, menyeluruh dan berkekalan di wilayah Selatan Thailand,’’ kata MKN.
Menurut MKN mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan serta terima kasih kepada Datuk Mohd Rabin Basir yang telah menamatkan khidmat beliau sebagai Fasilitator Kerajaan Malaysia.





