POLIS mengesahkan lima rakyat Malaysia termasuk pasangan suami isteri, yang ditahan bersama lima kilogram kokain di Lapangan Terbang Haneda, Tokyo pada 10 Oktober lalu dipercayai berperanan sebagai keldai dadah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pasangan dari Sarawak itu dipercayai mengajak tiga rakan mereka bercuti di Jepun sebelum mereka ditahan pihak berkuasa negara berkenaan.

Menurutnya, setiap seorang daripada mereka diberikan sepasang kasut yang dipercayai mengandungi dadah yang disembunyikan oleh sindiket.
“Mereka dari Sarawak ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sebelum menaiki penerbangan ke Tokyo. Jadi, kita percaya mereka semua mengetahui apa yang dibawa.
“Mereka adalah keldai dadah. Mereka diberi ganjaran RM8,000 seorang untuk membawa kasut itu,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di Johor Bahru hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, pihak berkuasa Jepun menahan lima rakyat Malaysia di Lapangan Terbang Haneda, Tokyo, pada 10 Oktober lalu selepas menemukan kira-kira lima kilogram kokain yang disembunyikan di dalam pelapik kasut mereka.
Media Jepun menganggarkan dadah yang dirampas itu bernilai kira-kira 120 juta yen (RM3.1 juta).
Hussein dalam pada itu berkata, siasatan tidak menolak kemungkinan sindiket itu didalangi seorang lelaki yang dipercayai mengajak isterinya sebelum wanita berkenaan mempelawa tiga rakannya untuk menyertai percutian itu.
Katanya, kumpulan berkenaan turut menggunakan khidmat seorang ejen pelancongan dari Kuala Lumpur untuk menguruskan perjalanan mereka.
Bagaimanapun, ejen pelancongan itu tidak ditahan dan sudah pulang ke Malaysia kerana dipercayai tidak mengetahui kegiatan penyeludupan dadah berkenaan.
Hussein berkata, semakan mendapati lima individu terbabit tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Bagaimanapun, katanya, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti sama ada mereka pernah ke negara lain menggunakan modus operandi sama atau mempunyai pembabitan lebih luas dengan sindiket dadah berkenaan.




