MPKS arah tiga premis warga asing ditutup di Puncak Alam

TIGA premis perniagaan diarahkan tutup, manakala 18 kompaun dikeluarkan dalam operasi bersepadu membabitkan premis warga asing di Pusat Niaga Astana Alam, Bandar Puncak Alam, kelmarin.

Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya turut mengeluarkan empat notis serta melaksanakan empat tindakan sitaan dan rampasan hasil pemeriksaan terhadap tujuh premis.

Menurutnya, operasi itu dijalankan susulan aduan awam dan pemantauan yang mendapati terdapat premis beroperasi tanpa lesen sah serta gagal mematuhi syarat ditetapkan.

Operasi bersepadu itu membabitkan 40 anggota daripada pelbagai agensi termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Selangor, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Selangor serta jabatan berkaitan di MPKS.

“Pemeriksaan terhadap kedai runcit, kedai produk kesihatan dan pusat cuci kenderaan mendapati pelbagai kesalahan membabitkan pelesenan, kebersihan, halangan di tempat awam serta pematuhan peraturan perniagaan.

“Antara kesalahan yang dikenakan kompaun termasuk beroperasi tanpa lesen, mempamerkan iklan tanpa lesen dan melanggar syarat lesen kerana gagal menyediakan pekerja warga tempatan,” menurut kenyataan itu.

MPKS berkata, kompaun turut dikenakan atas kesalahan membuang sisa ke dalam longkang, gagal menjaga kebersihan premis serta meletakkan barangan di kaki lima atau tempat awam tanpa kebenaran.

Sementara itu, SSM Selangor mengambil tindakan terhadap premis yang gagal mempamerkan papan tanda nama dan nombor pendaftaran perniagaan, selain tidak mencatatkan maklumat pendaftaran pada dokumen berkaitan.

KPDN Kuala Selangor pula mengambil tindakan berhubung penggunaan alat timbang yang tidak ditentusahkan, manakala JKDM Selangor merampas rokok disyaki seludup dan menahan seorang individu untuk siasatan lanjut.

Dalam operasi sama, MPKS turut menyita pelbagai peralatan perniagaan daripada dua pusat cuci kenderaan tanpa lesen, termasuk pam angin, pam air, mesin vakum, tangki buih, mesin kompresor, mesin sabun, mesin fogging dan mesin detailing.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here