PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan, tindakan terhadap individu yang terbabit dalam salah guna kuasa atau penyelewengan tidak seharusnya dipengaruhi oleh kecenderungan politik, sebaliknya perlu dilaksanakan tanpa pilih kasih.
Beliau berkata, tiada halangan dikenakan terhadap proses undang-undang ke atas mana-mana individu yang disyaki melakukan kesalahan, termasuk mereka yang berada dalam parti politik pimpinannya sendiri.
Menurutnya, perkara itu terbukti menerusi beberapa kes pendakwaan membabitkan anggota PKR, termasuk bekas Setiausaha Politiknya, Datuk Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.
“Sesiapa yang sakau, termasuk kalau dalam parti saya pun jalan. Malah seperti Yang Berhormat tahu, ada kes-kes pendakwaan yang melibatkan ahli-ahli parti Keadilan.
“Saya tidak menghalang atau menggunakan kuasa saya untuk menghalang termasuk mantan Setiausaha Politik saya baru-baru ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam pada itu, Anwar turut membangkitkan persoalan mengenai pihak tertentu yang hanya tampil mengetengahkan isu berkenaan selepas tidak lagi memegang jawatan dalam kerajaan, walaupun sebelum ini mempunyai peluang untuk mengambil tindakan ketika masih berkuasa.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan anggota Jemaah Menteri supaya memanfaatkan kuasa dan tanggungjawab yang diberikan untuk menangani sebarang kelemahan atau kepincangan sepanjang tempoh memegang jawatan.
Anwar menegaskan kerajaan tidak akan melindungi atau menutup mana-mana kes sekiranya terdapat bukti yang boleh dikemukakan bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.





