DATUK Seri Anwar Ibrahim menegaskan harga petrol di Malaysia kini lebih rendah berbanding Qatar dan Arab Saudi.
Beliau sekali gus menyifatkan janji yang pernah dibuatnya sebelum menjadi Perdana Menteri berhubung harga minyak diturunkan sudah ditunaikan.
“Yang Berhormat Hulu Terengganu (Datuk Rosol Wahid), harga minyak di Malaysia lebih rendah daripada Qatar dan Arab Saudi. Itu fakta pertama yang harus diingat,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Anwar berkata, sebelum menjadi Perdana Menteri, beliau pernah menggesa harga minyak diturunkan dengan harga petrol di Arab Saudi ketika itu sekitar 50 sen seliter.
Katanya, harga RON95 di Malaysia kini kekal pada RM1.99 seliter, manakala harga petrol di Arab Saudi sudah meningkat kepada lebih RM2.40 seliter.
“UAE yang juga negara pengeluar utama minyak dan gas turut menaikkan harga bahan api sejak dua bulan lalu. Itulah realiti ekonomi yang sudah berubah.
“Kalau dikatakan janji saya dahulu ialah harga minyak mesti lebih rendah daripada Arab Saudi, maka janji itu sudah ditunaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Rosol (PN-Hulu Terengganu) yang membangkitkan kenyataan Anwar ketika menjadi pembangkang yang mengkritik pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, berhubung harga bahan api.
Mengulas bantuan kepada rakyat, Anwar berkata, jumlah keseluruhan bantuan disalurkan kerajaan ketika ini menerusi Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA), subsidi bersasar RON95 menerusi BUDI serta subsidi diesel adalah jauh lebih tinggi berbanding pentadbiran terdahulu.
Bagaimanapun, beliau enggan membuat perbandingan secara langsung kerana keadaan ekonomi serta hasil negara pada setiap pentadbiran adalah berbeza.
“Saya tidak pernah mendakwa kerajaan mempunyai penyelesaian sempurna terhadap semua masalah ekonomi. Kita perlu sentiasa mendengar pandangan dan menyesuaikan dasar mengikut keadaan,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, bekalan bahan api negara kekal mencukupi buat masa ini meskipun ketidaktentuan di Selat Hormuz terus mencetuskan kebimbangan terhadap rantaian bekalan.
Perdana Menteri memberitahu, kerajaan mengambil langkah mempelbagaikan sumber bekalan bahan api bagi mengurangkan kebergantungan kepada saluran sama.
Menurut beliau, Presiden Rusia, Vladimir Putin memberi jaminan bahawa perjanjian jangka panjang bagi bekalan minyak dan diesel kepada Malaysia yang dimeterai sebelum ini akan terus dipenuhi.
“Selain itu, Kerajaan Turkmenistan turut memberikan bekalan telaga gas di antara terbesar di dunia di negara itu untuk Petronas kendalikan.
“Ini satu perkembangan yang baik kepada negara, khususnya Petronas, kerana diberikan peluang mengendalikan antara telaga gas terbesar di dunia.
“Usaha mengorek dan menggali gas di kawasan Blok 9 dan Blok 10 dijangka bermula pada Disember ini. Tempoh ini dianggap sangat cepat kerana selalunya jangkaan (untuk memulakan projek) mengambil masa antara satu setengah hingga dua tahun,” katanya.






