SEPASANG suami isteri yang baru lima bulan berkahwin ditahan selepas polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM291,250 dalam serbuan di sebuah rumah di daerah Kuantan, baru-baru ini.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, pasangan berusia 40 dan 46 tahun itu ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang pada jam 11.30 malam.
Menurutnya, pemeriksaan di rumah berkenaan menemukan ganja seberat 2,170 gram, heroin (1,905 gram), pil yaba (725 gram) dan Erimin 5 (1,515 gram), dengan jumlah keseluruhan 6,315 gram.
Katanya, dadah berkenaan berpotensi digunakan oleh 20,945 orang sekiranya terlepas ke pasaran.
“Siasatan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Suami isteri ini direman sehingga 25 Oktober ini bagi melengkapkan siasatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, hari ini, lapor Buletin TV3.
Azry Akmar berkata, modus operandi sindiket itu adalah menerima arahan sebelum menghantar bekalan dadah ke lokasi yang ditetapkan di sekitar daerah ini.
Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek mengaku menerima bayaran antara RM1,200 hingga RM1,400 seminggu.
Beliau berkata, siasatan turut dijalankan mengikut Akta Dadah (Perlucuthakan Harta) 1988 terhadap harta milik suspek membabitkan lima kenderaan dan tiga barang kemas bernilai RM103,789.
“Dalam kes ini, nilai anggaran rampasan dadah dan sitaan harta berjumlah RM395,039,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan atau aktiviti penyalahgunaan dadah supaya menyalurkannya kepada Pusat Kawalan Kontinjen Pahang (CCC) menerusi talian 09-5051999, Bilik Operasi 24 jam JSJN Pahang di talian 09-5052287 atau balai polis berhampiran.





