JKDM rampas dadah RM161 juta, sindiket guna kubur sebagai lokasi simpanan

TAKTIK sindiket penyeludupan dadah yang menggunakan pelbagai lokasi bagi mengaburi pihak berkuasa terbongkar selepas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas 1,194.56 kilogram (kg) dadah bernilai lebih RM161 juta menerusi empat operasi berasingan dalam tempoh dua minggu.

Antara taktik dikesan termasuk menyembunyikan dadah dalam kotak dagangan, peralatan kenderaan serta guni yang diletakkan di bawah jeti terbiar dan sebuah pondok berhampiran kawasan perkuburan.

Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri Amran Ahmad berkata, rampasan pertama dilakukan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, pada 26 September lalu selepas pihaknya memeriksa 16 kotak yang diisytiharkan sebagai barangan tidak berbahaya.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati empat kotak mengandungi alat ganti kenderaan, manakala 12 kotak lain menyimpan 285 bungkusan plastik berisi serbuk kristal putih yang disyaki methamphetamine.

“Dadah seberat 293.60kg itu dianggarkan bernilai lebih RM14 juta dan dipercayai disembunyikan dalam kotak dagangan sebelum dihantar ke Australia,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat Cawangan Narkotik JKDM di Nilai hari ini, lapor BH.

Bagi kes kedua, kata Amran, Bahagian Penguatkuasaan Kastam Pulau Pinang menjalankan pemeriksaan di kawasan persisiran Sungai Perlis pada 1 Oktober lalu selepas mengejar sebuah bot yang dipercayai membawa bahan terlarang berkenaan berhampiran Kuala Perlis.

Beliau berkata, bot terbabit memasuki kawasan sebuah jeti haram sebelum pemeriksaan menemukan dua guni tersembunyi di bawah struktur jeti terbiar berhampiran Jalan Dato Ali.

Pemeriksaan terhadap guni itu menemukan ketulan mampat disyaki ganja seberat kira-kira 33kg dengan nilai dianggarkan RM99,000.

“Sindiket dipercayai menggunakan lokasi berkenaan bagi mengelakkan kegiatan mereka dikesan, manakala dadah itu disyaki dibawa masuk dari negara jiran,” katanya lagi.

Tambah beliau, dalam satu lagi operasi pada 10 Oktober lalu, Bahagian Penguatkuasaan JKDM Perlis menemukan dadah di sebuah pondok terbiar di kawasan perkuburan Siam Jejawi, Arau.

Sebanyak 17 kotak diperiksa sebelum pihak berkuasa menemukan 228 bungkusan pelbagai warna yang disyaki mengandungi methamphetamine seberat 460.31kg, katanya.

Dadah berkenaan dianggarkan bernilai lebih RM23 juta dan dipercayai ditinggalkan di pondok itu untuk dijadikan tempat penyimpanan sementara oleh sindiket terbabit.

Sementara itu, menurutnya, rampasan terbesar membabitkan dadah bernilai RM123 juta dilakukan Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Kastam pada 12 Oktober lalu di bahagian kargo KLIA.

Pemeriksaan terhadap sebuah kotak kayu yang diisytiharkan mengandungi kompresor angin menemukan karung guni berisi serbuk putih disyaki heroin seberat 161kg dan kokain seberat 246.65kg.

Menurut Amran, sindiket dipercayai menyembunyikan dadah tersebut di dalam peralatan berkenaan sebelum membuat pengisytiharan barangan yang tidak benar bagi mengaburi pemeriksaan pihak berkuasa.

Beliau berkata, kesemua kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here