Dua wanita didenda RM3,000, penjara lima hari palsukan MC

DUA wanita masing-masing didenda RM3,000 dan dipenjara lima hari oleh Mahkamah Majistret Kota Tinggi, Selasa lalu selepas mengaku bersalah memalsukan sijil cuti sakit (MC) pada awal bulan ini.

Hukuman terhadap Alia Mysarah Hairol, 23, dan Nurin Atiqah Kamalrudin, 22, dijatuhkan Majistret Nur Najihah Hamidi. Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara tiga hari jika mereka gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa memalsukan satu dokumen, iaitu sijil cuti sakit secara fraud, sedangkan mereka mengetahui dokumen itu palsu di sebuah kedai di Jalan Tun Sri Lanang, Kota Tinggi.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Nuraini Mohd Shapee, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Hilmi Sulaiman Salahuddin.

Nur Najihah berkata, hukuman itu dijatuhkan sebagai pengajaran kepada kedua-dua tertuduh kerana perbuatan memalsukan sijil cuti sakit merupakan satu kesalahan serius.

Berdasarkan fakta kes, pada 5 Oktober lalu, seorang pegawai perubatan dimaklumkan kakitangan klinik mengenai kewujudan sijil cuti sakit palsu yang ditandatangani menggunakan nama pengadu sebelum laporan polis dibuat di Kota Tinggi.

Pada 2 Oktober lalu, majikan Alia Mysarah turut berasa curiga selepas dimaklumkan tertuduh mengemukakan sijil cuti sakit atas namanya. Majikan kemudian membuat semakan dengan klinik terbabit sebelum mendapati sijil berkenaan palsu dan membuat laporan polis di Senai.

Susulan itu, polis menahan kedua-dua tertuduh pada 18 Oktober lalu di Kota Tinggi.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here