SEORANG banduan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Marang, hari ini, atas pertuduhan membunuh seorang banduan lain di Penjara Marang pada Ogos lalu.
Tertuduh, Che Mohd Nazzaruddin Che Ros, 36, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Athirah Hashim.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh seorang lelaki berusia 38 tahun di Penjara Marang antara jam 8.45 hingga 9.15 pagi, 24 Ogos lalu, lapor BH.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun, jika sabit kesalahan.
Sekiranya hukuman mati tidak dikenakan, pesalah lelaki berusia bawah 50 tahun boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang daripada 12 sebatan.
Mahkamah tidak menawarkan ikat jamin terhadap tertuduh dan menetapkan 10 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Sementara itu, di mahkamah sama, dua lagi banduan, Mohd Fadli Che Mansor, 36, dan Nor Dhitauddin Afiq Norwadi, 22, didakwa bersama-sama menyebabkan kecederaan terhadap mangsa yang sama.
Kedua-dua tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa di tempat dan pada masa yang sama.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin masing-masing RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Kedua-dua kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noradila Ab Latif, manakala peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Shameer Haziq Shaharuddin, mewakili Mohd Fadli dan Nor Dhitauddin.





