SEORANG banduan yang dijangka dibebaskan bulan depan terpaksa menyambung tempoh pemenjaraannya selepas dijatuhi hukuman penjara 14 bulan oleh Mahkamah Sesyen Batu Pahat, hari ini kerana menghempas anak perempuannya berusia 14 bulan hingga benjol di dahi.
Muhammad Shaffik Amat Zairudin, 29, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Osman Affendi Mohd Shalleh.
Bekas pekerja landskap itu didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana menyebabkan kecederaan terhadap anaknya dalam kejadian di sebuah rumah di Parit Raja kira-kira jam 11 malam, 7 April lalu.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan bermula dari tarikh tangkap pada 8 April lalu.
Selain itu, Osman Affendi turut memerintahkan tertuduh berkelakuan baik selama dua tahun dengan cagaran RM2,000 serta menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam dalam tempoh enam bulan.
Bagaimanapun, selepas tertuduh gagal mendapatkan penjamin, mahkamah menggantikan perintah bon berkelakuan baik itu dengan denda RM2,000 atau penjara dua bulan jika gagal membayarnya.
Tertuduh gagal membayar denda berkenaan menyebabkan hukuman penjara tambahan dua bulan dikenakan, menjadikan keseluruhan hukuman penjara 14 bulan.
Berdasarkan fakta kes, ibu tertuduh berusia 62 tahun membuat laporan polis selepas melihat lelaki itu mengangkat dan menghempas anaknya ke lantai sehingga menyebabkan kecederaan fizikal.
Pengadu kemudian menasihati tertuduh namun lelaki itu bertindak agresif dan mengugut mahu membunuh semua penghuni rumah sambil mengacukan sebilah pisau.
Polis menahan tertuduh kira-kira jam 3 pagi keesokan hari bagi membantu siasatan.
Siasatan lanjut mendapati terdapat dua saksi iaitu bapa dan isteri tertuduh yang melihat kejadian berkenaan.
Ketika kejadian, isteri tertuduh sedang berbaring bersama mangsa sebelum tertuduh datang dan mengangkat kanak-kanak itu.
Siasatan mendapati tertuduh bertindak demikian kerana marah anaknya tidak mahu tidur walaupun sudah lewat malam.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Natasha Syed Ahmad manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Siti Farha Garieb.


