KPT ambil langkah pantau rapi pelajar Malaysia di Eropah ekoran rusuhan

KEMENTERIAN Pendidikan Tinggi (KPT) sedang meneliti dan mengikuti rapat perkembangan semasa pelajar Malaysia di Paris, Perancis serta Milan, Itali berikutan siri rusuhan yang berlaku di kawasan terbabit.

Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir memaklumkan, pihaknya sentiasa berhubung rapat bersama pihak Kementerian Luar bagi memastikan keselamatan serta kebajikan para penuntut di sana terjamin.

Bagaimanapun, menurut beliau, setakat ini tiada sebarang aduan atau laporan diterima membabitkan pelajar Malaysia secara langsung dalam krisis berkenaan.

“Setakat ini, insiden itu hanya menjejaskan pergerakan harian penuntut, khususnya untuk ke kampus atau melakukan urusan peribadi di kawasan tertentu.

“Kita memantau perkembangan dari semasa ke semasa dan meminta semua penuntut serta rakyat Malaysia mengambil langkah berwaspada dengan mengelakkan kawasan rusuhan,” kata beliau.

Zambry berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Surat Pengiktirafan Status Universiti Penuh kepada Kolej Universiti i-CATS (ICATS) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di Kuching hari ini, lapor BH.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihak kedutaan telahpun menggariskan nasihat keselamatan buat panduan pelajar Malaysia di sana.

Kata beliau, sekiranya situasi bertambah buruk, KPT bersiap siaga mengambil tindakan susulan termasuk memindahkan pelajar ke tempat yang lebih selamat di bawah seliaan kedutaan Malaysia.

Terdahulu dalam majlis sama, Zambry bersama Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyaksikan upacara penyerahan surat pengiktirafan rasmi daripada Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Datuk Dr Azlinda Azman kepada Naib Canselor ICATS, Prof Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi.

Mengulas lanjut mengenai naik taraf institusi itu, Zambry menyifatkan ia sebagai bukti jalinan kerjasama kukuh antara kerajaan Persekutuan dan negeri dalam memperkasakan modal insan di Sarawak.

“Penubuhan universiti penuh ini dijangka mampu memperluaskan pelbagai program pengajian tinggi mendesak, khususnya dalam bidang teknologi tinggi dan kejuruteraan bagi menampung keperluan industri tempatan.

Langkah penjenamaan dan peningkatan status itu dijangka memperkukuh lagi ekosistem pendidikan tinggi di Sarawak dalam melahirkan modal insan berkualiti,” jelas beliau.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here