KEMENTERIAN Pendidikan Tinggi (KPT) mengambil serius kejadian membabitkan seorang pelajar wanita berusia 19 tahun yang ditemukan meninggal dunia di sebuah bilik sewa di Jalan Air Putih, Kuantan di Pahang, semalam.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, pihak polis kini menjalankan siasatan berhubung kejadian berkenaan dan KPT sentiasa mengambil berat mengenai sebarang perkara yang melibatkan mahasiswa.
Menurut beliau, kejadian itu amat menyedihkan lebih-lebih lagi apabila ia membabitkan seorang pelajar institusi pengajian tinggi meskipun berlaku di luar kawasan kampus.
“Bila kita mendengar hal-hal yang begini, ia adalah sesuatu yang sangat menyedihkan. Walaupun ia berlaku di luar ataupun di mana sekalipun, bila ia melibatkan mahasiswa dan sebagainya, ia tentunya akan memprihatinkan kita semua,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Malaysia Global Civilizational Initiative Summit cum Islam-Confucian Civilizational Cultural Festival 2026 (MGCIS-ICCCF 2026) di Kuala Lumpur & Selangor Chinese Assembly Hall (KLSCAH) hari ini.
Zambry berkata, KPT tetap memberi perhatian terhadap kes berkenaan walaupun kejadian berlaku di luar kawasan kampus kerana ia melibatkan seorang mahasiswa.
Media semalam melaporkan, pelajar terbabit ditemukan meninggal dunia di sebuah bilik sewa di Jalan Air Putih, Kuantan, kira-kira jam 4.32 pagi semalam.
Mangsa dipercayai dibunuh teman lelakinya, manakala polis kini menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca serta keadaan sebenar yang membawa kepada kejadian itu.




