“Tindakan luar tabii” – Ahmad Samsuri bidas keputusan tergesa-gesa terhadap PN

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar membidas keputusan berhubung status gabungan itu menjelang pilihan raya dan menyifatkannya sebagai satu tindakan yang `luar biasa’ serta bermotifkan politik.

Menerusi hantaran di laman Facebook rasminya hari ini, Menteri Besar Terengganu itu mempersoalkan tindakan yang dibuat secara tergesa-gesa sehari sebelum kes berkenaan dibawa ke mahkamah.

“Apa yang berlaku sehari sebelum kes dibawa ke mahkamah adalah satu tindakan luar biasa. Memang luar biasa, yang boleh jadi luar tabii.

“Semua tindakan yang selari dengan garis masa sebelum pengisytiharan calon pilihan raya Melaka, dalam keadaan pihak SPR baru dua hari lalu menghantar surat kepada ‘PN’ untuk memberi respon penggunaan logo ‘PN’ adalah jelas bermotifkan ketakutan kepada gabungan ini,” katanya dalam hantaran itu.

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) hari ini membatalkan pendaftaran parti PN selepas mendapati penjelasan yang dikemukakan gabungan itu tidak mencukupi untuk menangkis alasan pembatalan yang dibangkitkan sebelum ini.

Keputusan berkenaan dibuat mengikut subperenggan 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832), selepas RoS meneliti dokumen serta representasi yang diserahkan oleh PN pada 12 Oktober lalu.

Pembatalan berkenaan secara tidak langsung mencetuskan polemik politik tanah air apabila ia bertindih dengan garis masa persediaan jentera parti komponen menghadapi pilihan raya.

Dalam hantaran sama, Ahmad Samsuri turut memberi peringatan tegas bahawa sokongan rakyat tidak akan goyah dengan sebarang taktik politik atau penggunaan kuasa oleh pihak tertentu:

“Ingatlah, gelombang rakyat tidak akan mudah padam dengan tindakan orang politik yang berselindung di sebalik kuasa.

“Apatah lagi mana-mana individu politik yang menjadikan ‘akan diusahakan pengharaman ini’ sebagai key performance indicator (KPI) untuk bersama pihak yang kami hadapi dalam pilihan raya,” tegas beliau lagi.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here