PERIKATAN Nasional (PN) hari ini sebulat suara melantik Pengerusi gabungan itu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Ketua Pembangkang bagi menggantikan Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Keputusan tersebut dicapai dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN kali kedua yang berlangsung di sebuah hotel di ibu negara hari ini.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, mesyuarat hari ini dipengerusikan oleh Ahmad Samsuri dan dihadiri semua Ahli MT daripada parti-parti anggota.
Menurutnya, antara agenda yang diputuskan dalam mesyuarat itu adalah pelantikan Ahmad Samsuri sebagai Ketua Pembangkang.
“Mesyuarat telah bersetuju untuk melantik YAB Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Ahli Parlimen Kemaman, untuk menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Pembangkang.
“Mesyuarat itu juga bersetuju secara prinsip untuk menerima kerjasama pilihan raya atau electoral pact bersama parti-parti tertentu yang mempunyai keserasian perjuangan dan kepentingan bersama dengan PN,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu dilantik ke jawatan itu bagi menggantikan Hamzah yang merupakan Ahli Parlimen Larut selepas beliau meletak jawatan.
Pengerusi PN itu pada 12 April lalu dalam satu rakaman video mengesahkan Hamzah telah melepaskan jawatan sebagai Ketua Pembangkang dan berikutan itu beliau telah mengarahkan Takiyuddin untuk menghantar surat rasmi bagi memaklumkan kekosongan jawatan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Kali terakhir Ahli Parlimen Pas menjadi Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat adalah pada tahun 1999 hingga 2004.
Selepas Pilihan Raya Umum (PRU) pada tahun 1999, Presiden Pas ketika itu, Allahyarham Datuk Fadzil Noor dilantik sebagai Ketua Pembangkang kerana Pas menjadi parti pembangkang terbesar di Parlimen.
Selepas beliau meninggal dunia pada 2002, jawatan itu diambil alih oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sehingga PRU tahun 2004.
Sementara itu, Takiyuddin dalam kenyataan turut memaklumkan pelantikan Pengerusi PN bagi setiap negeri seperti berikut:
Perlis: Datuk Seri Shahidan Kassim
Kedah: Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor
Pulau Pinang: Senator Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai
Perak: Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu
Selangor: Datuk Seri Mohamed Azmin Ali
Negeri Sembilan: Ditangguhkan
Melaka: Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin
Johor: Datuk Dr Sahruddin Jamal
Pahang: Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man
Terengganu: Datuk Dr Alias Razak
Kelantan: Datuk Ahmad Yakob
Sabah: Datuk Dr Aliakbar Gulasan
Sarawak: Jaziri Alkaf Abdillah Suffian
Wilayah Persekutuan: Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin
Menurut Takiyuddin, mesyuarat turut membincangkan beberapa isu semasa yang menjadi perhatian rakyat dan kepentingan negara.
“PN akan terus memainkan peranan sebagai suara semak dan imbang yang bertanggungjawab, konstruktif dan berprinsip demi memastikan kepentingan rakyat serta masa depan negara sentiasa diutamakan,” katanya.


