Oleh : Asst. Prof. Dr. Asma Zubaida Mohamed Ibrahim
SAYA menyokong keputusan kerajaan untuk mengehadkan penggunaan aplikasi Waze ketika menjalankan tugas rasmi kerana langkah ini merupakan satu pendekatan pencegahan yang wajar dalam usaha memperkukuh keselamatan maklumat dan melindungi kepentingan negara.
Kita perlu memahami bahawa aplikasi navigasi pada hari ini bukan sekadar berfungsi sebagai penunjuk arah, tetapi turut melibatkan pengumpulan dan pemprosesan data lokasi, laluan perjalanan serta corak pergerakan pengguna.
Dalam konteks ini, Waze mempunyai hubungan korporat dan perundangan dengan Israel. Aplikasi tersebut dibangunkan di Israel sebelum diambil alih oleh Google pada tahun 2013, manakala Waze Mobile Ltd merupakan sebuah entiti yang diperbadankan di Israel.
Walaupun hubungan ini tidak membuktikan berlakunya penyalahgunaan data, ia merupakan antara faktor yang wajar dipertimbangkan dalam penilaian risiko keselamatan, khususnya apabila aplikasi digunakan oleh pegawai kerajaan yang menjalankan tugas rasmi atau operasi sensitif.

Pada pandangan saya, kerajaan tidak perlu menunggu sehingga berlakunya kebocoran maklumat sebelum mengambil langkah pencegahan.
Dari perspektif Teknologi Maklumat dan Sistem Maklumat, risiko utama aplikasi navigasi seperti Waze terletak pada pengumpulan data geolokasi dan kemungkinan data tersebut digunakan untuk mengenal pasti corak pergerakan pengguna.
Data lokasi yang dikumpulkan secara berterusan berpotensi mendedahkan laluan perjalanan, lokasi yang kerap dikunjungi, waktu pergerakan dan rutin seseorang individu.
Sekiranya data sedemikian melibatkan pegawai keselamatan, anggota pertahanan atau individu yang mempunyai akses kepada maklumat strategik kerajaan, ia boleh menjadi maklumat sensitif apabila digabungkan dengan sumber data lain.
Dalam bidang keselamatan siber, keadaan ini berkait rapat dengan konsep location intelligence, iaitu analisis maklumat lokasi untuk memahami corak pergerakan dan aktiviti individu atau organisasi.
Selain itu, aspek kedaulatan data (data sovereignty) juga perlu diberikan perhatian. Kita perlu mengetahui siapa yang mengawal data, di mana data diproses, undang-undang negara mana yang terpakai dan apakah mekanisme perlindungan terhadap akses yang tidak dibenarkan.
Walau bagaimanapun, saya ingin menegaskan bahawa risiko ini tidak bermaksud Waze telah terbukti melakukan aktiviti pengintipan terhadap Malaysia. Perkara yang menjadi perhatian ialah potensi pendedahan maklumat sensitif yang perlu diuruskan secara proaktif.
Pada pandangan saya, keutamaan ketika ini adalah untuk memastikan larangan atau sekatan tersebut dilaksanakan secara berkesan dalam urusan rasmi kerajaan, khususnya yang melibatkan keselamatan dan maklumat sensitif.
Saya tidak berpandangan bahawa larangan menyeluruh kepada orang awam perlu dilaksanakan secara automatik kerana tahap risiko penggunaan aplikasi navigasi adalah berbeza mengikut tujuan dan konteks penggunaannya.
Namun begitu, saya menyokong usaha kerajaan menggalakkan rakyat menggunakan aplikasi navigasi alternatif yang mempunyai tahap keselamatan, ketelusan pengurusan data dan perlindungan privasi yang baik.
Kita juga perlu meningkatkan kesedaran masyarakat tentang keselamatan data lokasi. Pengguna harus memahami bahawa apabila mereka memberikan kebenaran akses lokasi kepada sesuatu aplikasi, terdapat maklumat pergerakan yang mungkin dikumpulkan dan diproses mengikut dasar privasi penyedia perkhidmatan tersebut.
Dalam jangka panjang, Malaysia juga wajar memperkukuh pembangunan teknologi navigasi tempatan yang mampu memenuhi keperluan pengguna dan pada masa yang sama memberikan jaminan keselamatan data yang lebih baik.
Walau bagaimanapun, aplikasi tempatan juga perlu melalui penilaian keselamatan dan perlindungan data yang ketat. Keselamatan sesuatu aplikasi tidak boleh ditentukan berdasarkan negara asal semata-mata.
Pada pandangan saya, keputusan kerajaan ini perlu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kedaulatan digital Malaysia.
Dalam era teknologi berasaskan data, keselamatan negara bukan lagi hanya melibatkan perlindungan sempadan fizikal, tetapi turut merangkumi perlindungan maklumat digital, data lokasi dan pergerakan individu yang mempunyai kepentingan strategik.
Saya menyokong langkah pencegahan yang dilaksanakan kerajaan kerana perlindungan data sensitif merupakan tanggungjawab penting dalam memastikan keselamatan dan kepentingan negara terus terpelihara.
Kita tidak seharusnya menunggu sehingga maklumat strategik negara terdedah sebelum mengambil tindakan. Dalam dunia digital, pencegahan merupakan salah satu benteng utama keselamatan negara.
* Ketua Hal Ehwal Akademik, City University Malaysia dan Pakar Sistem dan Teknologi Maklumat.





