DUA rakan masing-masing berusia 22 dan 20 tahun maut selepas motosikal dinaiki mereka dipercayai dirempuh sebuah kenderaan dari arah belakang di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, berhampiran susur ke Jambatan Pulau Pinang, awal pagi tadi.
Kedua-dua mangsa, lelaki dan wanita yang berasal dari Padang Serai, Kedah, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu kenderaan yang terbabit dipercayai melarikan diri.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu kira-kira jam 4.30 pagi.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 4 pagi ketika motosikal dinaiki mangsa dalam perjalanan dari pusat bandar George Town menghala ke Jambatan Pulau Pinang.
“Motosikal berkenaan dipercayai dilanggar dari arah belakang oleh sebuah kenderaan yang tidak dikenal pasti ketika berada di susur bercabang menghala ke Jambatan Pulau Pinang dan Universiti Sains Malaysia (USM).
“Akibat kejadian itu, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Abdul Rozak berkata, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Pulau Pinang untuk proses bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Shahidatul Alyaa Nordin, menerusi talian 019-688 6106.





