Penjawat awam berdepan tindakan tatatertib, tipu urusan majlis kahwin

SEORANG penjawat awam berusia 31 tahun berdepan tindakan tatatertib selepas didakwa terbabit dalam kes penipuan perancangan majlis perkahwinan yang mengakibatkan kerugian hampir RM1 juta, membabitkan 73 laporan polis.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, kejadian itu berlaku tahun lalu sebelum lelaki berkenaan didakwa di mahkamah pada 8 September lalu.

Menurutnya, polis menerima 73 laporan berkaitan kes itu, namun pihak pendakwaan memutuskan untuk meneruskan pendakwaan menerusi satu pertuduhan terhadap lelaki terbabit.

“Selepas berbincang dengan pihak pendakwaan, diputuskan bahawa lelaki itu berdepan satu pertuduhan,” katanya pada sidang media hari ini, lapor Buletin TV3.

Beliau berkata, laporan lain dirujuk kepada Tribunal Tuntutan Pengguna untuk tindakan lanjut memandangkan majlis perkahwinan yang terlibat belum berlangsung ketika kejadian berlaku.

Mohd Alwi berkata, lelaki itu masih berkhidmat sebagai penjawat awam, manakala proses tatatertib di peringkat jabatan sudah dimulakan, termasuk kemungkinan dikenakan penggantungan tugas.

“Proses mengambil tindakan di peringkat jabatan terhadapnya masih berjalan,” katanya.

Beliau turut menafikan dakwaan bahawa lelaki itu merupakan anggota polis, sebaliknya menjelaskan bahawa dia ialah penjawat awam yang berkhidmat dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Dia bukan anggota polis. Dia bekerja dengan JPA,” katanya.

Kes itu kembali mendapat perhatian selepas tular di platform Threads menerusi hantaran yang mendakwa lelaki berkenaan mengambil wang beberapa pasangan bagi urusan perkahwinan mereka.

Penulis hantaran berkenaan turut mendakwa mereka sedang berusaha mendapatkan maklumat mengenai keberadaan lelaki itu.

Beberapa individu yang mendakwa menjadi mangsa turut berkongsi pengalaman masing-masing, termasuk kerugian kewangan serta tekanan emosi yang dialami.

Seorang pengguna mendakwa mengalami kerugian RM23,000, tetapi hanya menerima bayaran balik sebanyak RM50 setakat ini, manakala seorang lagi mendakwa kehilangan wang simpanan RM12,000 yang dikumpul untuk majlis perkahwinannya.

Mangsa lain turut mendakwa ahli keluarga terpaksa mengeluarkan wang tambahan bagi menampung kos majlis resepsi, manakala seorang pengguna mendakwa kerugian RM20,000 masih memberi kesan kewangan ketika ulang tahun pertama perkahwinannya semakin hampir.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here