Kemelut dalaman PN persoal kemampuan tadbir negeri, kerjasama dengan BN

KEMELUT dalaman Perikatan Nasional (PN) berhubung isu pendaftaran gabungan itu bukan sahaja berpotensi mencalar imejnya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, malah menimbulkan persoalan mengenai kemampuan gabungan berkenaan menjamin kestabilan pentadbiran sekiranya diberikan mandat.

Penganalisis sosiopolitik Universiti Malaya, Prof Datuk Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, kelegaan sementara yang diperoleh PN melalui proses mahkamah tidak semestinya memulihkan keyakinan pengundi terhadap kepimpinan dan kesepaduan gabungan itu.

PROF Datuk Dr Awang Azman Awang Pawi. GAMBAR: Astro Awani

Sebaliknya, beliau berkata, kemelut berkenaan mendedahkan kelemahan dari segi tadbir urus serta penyelarasan dalaman yang perlu ditangani segera.

“Pengundi boleh mempersoalkan bagaimana gabungan yang gagal mengurus pertikaian sendiri mampu menjamin kestabilan pentadbiran negeri,” katanya kepada utusanmelayuplus hari ini.

Menurutnya, PN perlu memberikan penjelasan tuntas mengenai kemelut yang berlaku, termasuk memastikan prinsip demokrasi dalaman, hak parti komponen dan proses membuat keputusan dihormati.

Beliau berkata, penjelasan berbentuk retorik semata-mata tidak memadai tanpa pembaharuan organisasi yang dapat membuktikan kesungguhan kepimpinan PN menyelesaikan perbezaan secara berkesan.

“Kegagalan mengurus perbezaan dalaman boleh menjadi petunjuk kelemahan mengurus konflik ketika mentadbir,” katanya.

Mengulas keputusan mahkamah yang memberikan ruang kepada PN meneruskan persiapan pilihan raya, Awang Azman berkata, keputusan itu tidak seharusnya dianggap sebagai penyelesaian menyeluruh terhadap kemelut politik yang melanda gabungan berkenaan.

Beliau berkata, keputusan pada 22 Oktober yang menggantung pelaksanaan tindakan Pendaftar Pertubuhan (RoS) sementara menunggu semakan kehakiman diputuskan hanya memberikan kelegaan dari sudut perundangan, bukannya pengesahan muktamad bahawa PN bebas daripada sebarang pelanggaran.

“PN memperoleh ruang undang-undang, tetapi belum semestinya memulihkan keyakinan politik,” katanya.

Dalam konteks PRN Melaka, beliau berpandangan pertikaian yang berlarutan boleh menjadi beban kepada kempen PN sekiranya kepimpinannya gagal memperlihatkan kesepakatan yang jelas sebelum pengundi membuat penilaian.

Katanya, perhatian terhadap isu dalaman berisiko mengalihkan tumpuan daripada dasar, calon dan agenda rakyat kepada persoalan kestabilan kepimpinan serta keupayaan gabungan itu mengurus organisasinya sendiri.

“PN perlu segera memperlihatkan kesepakatan, disiplin organisasi dan tawaran pentadbiran yang meyakinkan,” katanya.

Kemelut itu turut menimbulkan persoalan mengenai kemampuan PN menjalin kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dalam PRN Melaka, terutama apabila kerjasama pilihan raya memerlukan persefahaman mengenai strategi, calon dan pembahagian kerusi.

Menurut Awang Azman, keupayaan mengurus perbezaan dan membina kesepakatan menjadi aspek penting dalam menentukan kekuatan sesebuah gabungan politik.

Justeru, persoalan yang perlu dijawab ialah sejauh mana PN mampu meyakinkan pihak lain untuk bekerjasama dengannya sekiranya isu penyelarasan dan hubungan antara parti dalam gabungan itu sendiri masih belum diselesaikan.

Pada masa sama, BN juga perlu mempertimbangkan implikasi politik sebarang bentuk kerjasama dengan PN, termasuk risiko pertikaian dalaman gabungan berkenaan mempengaruhi penyelarasan kempen dan strategi pilihan raya.

Mengulas soal kredibiliti PN yang sering membawa mesej kestabilan dan integriti, Awang Azman berkata, prinsip berkenaan perlu diterjemahkan melalui amalan organisasi dan bukannya sekadar slogan politik.

“Integriti bukan sekadar slogan menentang kelemahan pihak lawan, tetapi mesti bermula dengan pengurusan organisasi sendiri.

“Pengundi berhak menilai konsistensi antara janji dengan amalan. PN perlu membuktikan kestabilan dalam rumah sendiri sebelum menawarkan kestabilan kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata, cabaran utama PN ketika ini bukan sekadar memastikan gabungan itu dapat bertanding dalam PRN Melaka, tetapi membuktikan bahawa ia masih mempunyai kesepakatan dan keupayaan memulihkan keyakinan rakyat.

Dalam politik, katanya, kedudukan dari sudut perundangan tidak semestinya membawa kepada keyakinan politik secara automatik, justeru PN perlu membuktikan bahawa gabungan itu mampu bergerak secara tersusun sebelum meminta mandat pengundi.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here