POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan hasil bedah siasat terhadap seorang lelaki yang meninggal dunia ketika dalam tahanan polis mendapati tiada kecederaan pada organ dalamannya, namun beberapa kecederaan luaran dikesan.
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Aida Abdul Hamid berkata, punca kematian lelaki berusia 42 tahun itu masih belum dapat dipastikan kerana menunggu keputusan analisis makmal.
“Punca kematian dinyatakan sebagai ‘pending laboratory analysis’ (menunggu keputusan analisis makmal),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Lelaki itu ditahan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras pada 19 September lalu bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 457 dan 379 Kanun Keseksaan.
Pada 30 September, lelaki berkenaan dirujuk ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM) untuk mendapatkan rawatan sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 1.52 pagi keesokan harinya.
Aida berkata, kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut manakala Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT) JIPS Bukit Aman meneruskan siasatan daripada pelbagai sudut.
Menurutnya, setakat ini, USJKT sudah merakam percakapan 78 saksi yang terdiri daripada pegawai polis, orang awam, pegawai perubatan, pakar perubatan forensik, wakil Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) dan dua waris lelaki berkenaan.
Kes itu turut dirujuk kepada Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) selaras dengan Seksyen 26 Akta Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2022 (Akta 839), kata beliau.
Aida berkata, PDRM komited terhadap prinsip ketelusan, kebertanggungjawaban dan keadilan dalam menangani insiden seumpama itu, selain meminta orang ramai memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan tanpa spekulasi.
“JIPS memberi jaminan tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku mana-mana pihak dan akan mengambil tindakan selaras dengan peraturan serta undang-undang,” katanya.
Pada 17 Oktober lalu, media melaporkan seorang ahli keluarga lelaki itu menyerahkan memorandum kepada PDRM bagi menuntut kes berkenaan diklasifikasikan dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.




