Indonesia rampas 1.16 tan ketamin daripada kapal tangki belayar dari Malaysia

PIHAK berkuasa Indonesia berjaya membongkar kegiatan penyeludupan 1.16 tan dadah jenis ketamin HCL yang dibawa kapal tangki MT Global 168 di perairan Selat Melaka.

Rampasan itu membabitkan pasukan petugas gabungan Badan Reserse Kriminal (Bareskrim) Polis Republik Indonesia (Polri), Badan Narkotika Nasional (BNN), Kastam dan Eksais serta Polis Air Baharkam Polri.

Ketua Polis Negara Indonesia, Jeneral Suyudi Ario Seto, mengumumkan kejayaan operasi itu di Terminal Bandar Deli, Pelabuhan Belawan, semalam.

“Alhamdulillah, hari ini kita berjaya menahan penjenayah penyeludupan yang sememangnya berniat jahat untuk memusnahkan generasi muda negara kita,” katanya, lapor Agensi.

Jelas beliau, lapan kru kapal yang terdiri daripada tujuh warga Indonesia dan seorang warga Taiwan ditahan. Kapal tangki itu kemudian dibawa ke Pelabuhan Belawan, Medan, Sumatera Utara.

“Setibanya di Pelabuhan Belawan, semua kru MT Global 168 disoal siasat sebelum pemeriksaan menyeluruh dilakukan.

“Pasukan petugas operasi laut gabungan berjaya menemukan 58 guni berwarna hijau mengandungi ketamin HCL dengan jumlah keseluruhan 1.16 tan yang disimpan di bilik pam kapal berkenaan,” katanya.

Menurut Suyudi, kapal seberat 370 tan kasar (GT) itu menggunakan bendera Mongolia, namun belayar dari Malaysia. Kapal berkenaan juga pernah menggunakan nama Tsurushio Maru No. 08.

“Pihak berkuasa mula menjejaki kapal sepanjang antara 56.99 hingga 57 meter, lebar 9.02 meter ini pada 14 Oktober ketika ia belayar melalui perairan berhampiran Malaysia sebelum menuju ke utara Aceh dan Thailand.

“Pihak penyiasat mengesan kejanggalan dalam sistem pengenalan automatik kapal itu yang memaparkan dua nama berbeza, iaitu MT Global dan Gross Dolphin.

“Benderanya Mongolia, tetapi kapal itu datang dari Malaysia. Berdasarkan data pengenalan utama, kapal ini mempunyai nombor IMO 9078347, nombor MMSI 457615000 serta tanda panggilan JVRE8, katanya.

Beliau berkata, penukaran nama kapal antara modus operandi yang dikenal pasti dalam beberapa kes penyeludupan dadah melalui laluan laut.

Sehubungan itu, penyiasat akan meneliti sejarah kapal berkenaan, termasuk kemungkinan wujud usaha menyamar identitinya bagi menjalankan kegiatan haram.

“Inilah antara strategi penyeludup, iaitu kerap menukar nama kapal. Berdasarkan pelbagai kes penahanan kapal yang berjaya kita bongkar, perkara ini sering berlaku,” katanya.

Selain menyiasat identiti kapal, Suyudi berkata, pasukan penyiasat turut mengenal pasti syarikat yang direkodkan sebagai pemilik kapal itu, iaitu Makmur Marine Petroleum.

Syarikat berkenaan beralamat di Suite S11 dan S12, tingkat lima, Menara TJB, Jalan Syekh Muhammad Mukti, Bandar Johor Bahru 80000, Johor, Malaysia.

“Fakta ini tentunya akan menjadi bekal penting bagi pasukan penyelidik untuk mendalami pembabitan syarikat korporat mahupun pihak-pihak pengendali di balik jaringan antarabangsa ini,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here