Perebutan kerusi dedah rapuhnya BN-PN, slogan perpaduan Melayu dipersoal – Penganalisis

KERETAKAN rundingan pembahagian kerusi antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka memperlihatkan kesukaran kedua-dua gabungan itu membentuk kerjasama politik yang kukuh, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kemampuan mereka menjadi alternatif kepada kerjasama Pakatan Harapan (PH)-BN.

Penyelidik Kajian Geopolitik dan Elektoral Borneo (GeoPES) di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Madya Dr Syahruddin Awang Ahmad berkata, kecelaruan rundingan kerusi antara BN dan PN mencerminkan kerapuhan gagasan kerjasama mereka serta krisis keyakinan antara parti terbabit.

Menurutnya, keadaan itu berbeza dengan kerjasama Pakatan Harapan (PH)-BN dalam Kerajaan Perpaduan yang berasaskan konsensus berstruktur dan muafakat formal, sedangkan BN dan PN masih berdepan percanggahan kepentingan, khususnya dalam perebutan kawasan majoriti Melayu yang menjadi sasaran pengundi kedua-dua pihak.

“Jika dari segi pembahagian kerusi pun mereka sudah tidak sehaluan, bagaimana BN dan PN mahu ditampilkan sebagai alternatif kepada kerjasama PH-BN, sedangkan setakat ini kerjasama PH-BN tidak berdepan masalah seumpama itu?” katanya kepada utusanmelayuplus hari ini.

PROF Madya Dr Syahruddin Awang Ahmad

Dr Syahruddin yang juga Profesor Madya Perhubungan Awam Kerajaan UMS berkata, persaingan untuk menguasai kelompok pengundi yang sama turut memperlihatkan perebutan pengaruh antara UMNO dengan parti komponen PN, sekali gus menyukarkan pembentukan persefahaman strategik yang benar-benar berteraskan kepentingan bersama.

“Perebutan status ‘big brother’ antara UMNO dan komponen PN yang bersaing merebut pengundi sasaran sama menyerlahkan ketiadaan persefahaman strategik, apabila usaha membentuk muafakat bertukar menjadi medan perebutan kuasa sesama pemimpin parti,” katanya.

Dr Syahruddin berkata, persaingan itu turut menimbulkan persoalan terhadap kemampuan UMNO dan Pas bekerjasama dalam pilihan raya kerana kepentingan memperluas pengaruh serta menguasai lebih banyak kerusi dilihat mengatasi semangat penyatuan yang sering dilaungkan.

Mengulas slogan perpaduan Melayu dan Islam, beliau berpandangan, retorik berkenaan sering diketengahkan sebagai modal politik, tetapi diketepikan apabila parti terbabit perlu mencapai persepakatan bagi menghadapi pilihan raya.

“Retorik ‘perpaduan Melayu’ tidak lebih daripada modal politik apabila ia diketepikan sebaik sahaja bertembung dengan pertimbangan untuk mencapai persepakatan menghadapi pilihan raya antara UMNO dan Pas,” katanya.

Beliau berkata, meskipun cita-cita penyatuan ummah mendapat sokongan di peringkat akar umbi, persaingan parti untuk mempertahankan kubu tradisi dan menambah kerusi Parlimen serta Dewan Undangan Negeri (DUN) terus menjadi penghalang kepada kerjasama yang lebih kukuh.

Menurutnya, pertambahan kerusi Pas boleh menghakis pengaruh dan kawasan tradisi UMNO, manakala perkembangan sebaliknya juga boleh berlaku, menjadikan persaingan kedua-dua parti satu pertarungan yang menyukarkan mereka mencapai persefahaman ketika pilihan raya.

Dr Syahruddin berkata, pengalaman Muafakat Nasional yang pernah digambarkan sebagai wadah penyatuan Melayu dan Islam turut menunjukkan bagaimana cita-cita berkenaan boleh terjejas apabila keinginan memperluas pengaruh parti dan menguasai kerusi Parlimen serta DUN mengatasi idealisme pakatan.

“Kegagalan mengetepikan kepentingan partisan demi penyatuan Melayu dan Islam menunjukkan slogan perpaduan kaum dan agama mudah menjadi retorik ketika berada di blok pembangkang, sedangkan politik Melayu terus dipacu pragmatisme kekuasaan dan perebutan pengaruh,” katanya.

Beliau berkata, selagi persaingan untuk kelangsungan politik masing-masing mengatasi agenda kestabilan, usaha membentuk kerjasama BN-PN akan terus berdepan persoalan dari segi keutuhan dan kemampuan mencapai persefahaman, terutama ketika parti-parti terbabit berhadapan pilihan raya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here