PM zahir takziah atas kemangkatan adinda Sultan Terengganu

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merafak sembah takziah kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin susulan kemangkatan adinda baginda, Datuk Seri Dr Tengku Baderul Zaman Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah.

Menerusi hantaran di Facebook, Anwar turut mendoakan agar Allah SWT mencucuri rahmat dan mengurniakan keampunan kepada Allahyarham, selain menempatkan baginda dalam kalangan para solihin.

“Merafak sembah takziah kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, Sultan Terengganu Darul Iman atas kemangkatan adinda, Yang Amat Mulia Dato’ Seri Dr Tengku Baderul Zaman ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah,” katanya dalam hantaran itu hari ini.

Perdana Menteri turut mendoakan agar Sultan Mizan serta seluruh kerabat diraja Terengganu dikurniakan ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi kehilangan berkenaan.

Allahyarham Tengku Baderul Zaman mangkat pada jam 1.20 pagi ini di Hospital Gleneagles, Kuala Lumpur, pada usia 51 tahun. Jenazah Allahyarham dijadual dibawa ke Terengganu untuk penghormatan terakhir sebelum disemadikan di Makam Diraja Masjid Al-Muktafi Billah Shah.

Sultan Mizan menitahkan tempoh berkabung selama tiga hari bermula 24 Oktober, manakala majlis tahlil diadakan selama tiga malam berturut-turut di Balai Islam, Istana Syarqiyyah, Kuala Terengganu.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here