Farhash fail saman fitnah terhadap Rafizi

AHLI Perniagaan Datuk Seri Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak memfailkan saman terhadap Datuk Seri Mohd Rafizi Ramli berhubung kenyataan berunsur fitnah yang didakwa diterbitkan mengenai dirinya.

Peguam Farhash, Datuk Seri Rajan Navaratnam, dalam satu kenyataan memaklumkan Writ Saman dan Pernyataan Tuntutan difailkan pada semalam.

Tindakan undang-undang itu susulan penerbitan podcast bertajuk Dari Umno ke PKR: Zetrix – Kerajaan Bertukar, Kroni Berpindah? | YBM #68 di saluran YouTube Rafizi pada 16 Oktober lalu.

Podcast berdurasi kira-kira tiga jam 14 minit itu menyentuh dakwaan berhubung kepentingan perniagaan Farhash, hubungan korporat, kaitannya dengan beberapa tokoh politik serta isu kronisme dan perolehan kontrak kerajaan.

Menurut kenyataan itu, dokumen mahkamah berkenaan sedang melalui proses penyampaian kepada Rafizi mengikut prosedur ditetapkan. Ini merupakan tindakan undang-undang kedua yang dimulakan Farhash terhadap bekas Menteri Ekonomi itu.

Farhash mendakwa penerbitan berulang kenyataan berunsur fitnah terhadapnya mempunyai unsur niat jahat dan menjejaskan reputasinya.

Sehubungan itu, beliau berpendapat tindakan undang-undang perlu diambil bagi menangani perkara berkenaan.

Pihak Farhash menegaskan bahawa dakwaan sedemikian perlu ditangani melalui proses undang-undang dan diputuskan berdasarkan bukti serta undang-undang yang terpakai.

Bagaimanapun, pihak peguam memaklumkan mereka tidak berhasrat membicarakan kes berkenaan menerusi media atau terlibat dalam pertukaran kenyataan terbuka mengenai merit kes itu.

Sebaliknya, mereka menyerahkan perkara berkenaan kepada mahkamah untuk diputuskan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here