EMPAT termasuk bayi berusia sembilan bulan maut selepas pikap dinaiki mereka merempuh sebuah treler yang diparkir di tepi Kilometer 107 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran Pagoh, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, kemalangan membabitkan sebuah Ford Ranger, Toyota Vios dan treler.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pagoh, Mohd Hafiz Mohd Shahid berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila Ford Ranger yang dinaiki mangsa merempuh belakang treler berkenaan.
Beliau berkata, mangsa yang maut terdiri daripada dua wanita warga emas, seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun dan bayi berusia sembilan bulan.
“Dua lagi mangsa dalam pikap cedera dan dikejarkan ke hospital oleh pasukan perubatan.
“Mangsa lain yang cedera adalah mereka yang menaiki Toyota Vios manakala pemandu treler terselamat. Kesemua mangsa dikeluarkan orang awam sebelum pasukan operasi tiba di lokasi.
“Sejurus tiba, pasukan operasi memberikan rawatan awal kepada mangsa dan melakukan pembersihan sisa kemalangan.
“Mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.





