Empat maut, seorang kanak-kanak cedera pokok tumbang hempap pacuan empat roda

EMPAT individu maut manakala seorang kanak-kanak cedera selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka ditimpa pokok tumbang di Jalan Lama Gombak-Bentong berhampiran Genting Sempah di Bentong hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, kenderaan jenis Ford Raptor yang dinaiki lima individu berkenaan dihempap pokok tumbang.

Pihak polis menerima maklumat berhubung insiden itu daripada orang awam.

KEADAAN Ford Raptor (kiri) dihempap sebatang pokok tumbang di Jalan Lama Gombak-Bentong dekat Genting Sempah hari ini manakala seorang daripada mangsa kanak-kanak berjaya dikeluarkan orang awam (kanan). GAMBAR: JBPM Pahang

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, mangsa yang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian adalah pemandu lelaki berusia 35 tahun, penumpang wanita berusia 36 tahun serta seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang dipangkunya di bahagian penumpang hadapan.

“Turut terkorban dalam insiden itu ialah seorang penumpang lelaki berusia 40 tahun yang duduk di bahagian belakang.

“Sementara itu, seorang lagi kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang duduk di bahagian belakang terselamat, namun mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Hospital Bentong untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.

LOKASI pokok tumbang yang menghempap sebuah Ford Raptor di Jalan Janda Baik di Bentong mengakibatkan empat maut manakala seorang daripada mangsa kanak-kanak berjaya diselamatkan. GAMBAR: JBPM Pahang

Menurutnya, berdasarkan dokumen pengenalan diri yang ditemukan di lokasi, kedua-dua kanak-kanak lelaki terbabit dipercayai pasangan kembar.

“Semua mayat mangsa yang terkorban dihantar ke Hospital Temerloh bagi proses bedah siasat,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.05 petang.

“Terdapat lima mangsa dalam kenderaan terlibat iaitu dua lelaki dewasa, seorang perempuan dewasa dan seorang kanak-kanak yang masih tersepit di dalam kenderaan, manakala seorang lagi kanak-kanak cedera telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum dihantar ke hospital,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Salahuddin berkata, kerja-kerja mengeluarkan mangsa yang tersepit pada peringkat awal dilakukan oleh anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Janda Baik sebelum disambung pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong.

Menurutnya, anggota bomba menggunakan peralatan khas bagi memotong bahagian kenderaan dan mengeluarkan mangsa yang masih tersepit.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img