Kenduri rakyat Syed Saddiq-Bella di Muar sesak, pengantin sukar masuk dewan

KEHADIRAN orang ramai yang membanjiri Kenduri Rakyat Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersama isterinya, Bella Astillah, mencetuskan suasana luar biasa apabila kawasan majlis di Yong Sheng Banquet Hall di Jalan Bakri, Muar sesak.

Video kemeriahan majlis persandingan pasangan yang menjadi perhatian ramai itu turut tersebar luas dalam media sosial, dengan orang ramai dilihat memenuhi ruang dalam dan luar dewan untuk menyaksikan pasangan berkenaan secara dekat.

Keadaan yang terlalu sesak turut menyukarkan pergerakan Syed Saddiq dan Bella ketika memasuki dewan, apabila orang ramai berhimpit-himpit untuk melihat serta merakam gambar bersama mereka.

Majlis itu bukan sahaja menarik penduduk sekitar Muar, malah turut dikunjungi individu dari luar Johor, termasuk Singapura, yang mahu menyaksikan sendiri kemeriahan sambutan berkenaan.

Di media sosial, beberapa pengguna berkongsi pengalaman menghadiri majlis itu, termasuk perjalanan jauh yang ditempuh semata-mata untuk memeriahkan kenduri pasangan berkenaan.

Ada juga yang menggambarkan suasana di lokasi sebagai terlalu padat sehingga pengantin sendiri berdepan kesukaran untuk bergerak masuk ke dewan.

Kemeriahan itu sekali gus memperlihatkan sambutan luar biasa orang ramai terhadap pasangan berkenaan, yang perkahwinannya menjadi antara peristiwa selebriti paling mendapat perhatian tahun ini.

Syed Saddiq dan Bella sebelum ini selamat diijabkabulkan dalam majlis pernikahan di Aras 118, Menara Merdeka 118, Kuala Lumpur pada 10 Oktober lalu.

Pasangan itu dinikahkan dengan sekali lafaz oleh bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri kira-kira jam 10.40 pagi dengan Bella menerima mas kahwin RM500.

Mereka kemudian diraikan dalam majlis resepsi di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur pada 18 Oktober lalu yang menghimpunkan kira-kira 3,000 tetamu.

Selepas Muar, sambutan perkahwinan pasangan itu dijadual diteruskan menerusi satu lagi Kenduri Rakyat di Kota Kinabalu, Sabah pada 31 Oktober ini, iaitu negeri kelahiran Bella.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here