LARIAN Kesyukuran yang digerakkan oleh Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berjaya mengumpul RM54,692 pada hari pertama semalam, sekali gus menghampiri sasaran kutipan RM200,000 sepanjang empat hari misi itu.
Syed Saddiq menerusi video yang dikongsi menyifatkan sambutan yang diterima sepanjang laluan larian dari Putrajaya ke Salak Tinggi sebelum berakhir di Labu malam tadi amat luar biasa apabila orang ramai sanggup menunggu di tepi jalan bagi memberikan sokongan kepadanya.
Beliau mengakui terkejut dengan kehadiran penyokong, terutama di Labu, apabila ribuan orang masih menunggu sehingga lewat malam.
“Sepanjang perjalanan dari Putrajaya ke Salak Tinggi ada orang menunggu di tepi jalan untuk memberikan semangat, menghulurkan tangan dan mendoakan kami.
“Tetapi apabila sampai di Labu, saya langsung tidak sangka melihat lautan manusia yang masih menunggu walaupun sudah malam. Saya mungkin orang yang berlari, tetapi perjalanan ini digerakkan oleh anda semua,” katanya.
Syed Saddiq petang semalam memulakan misi Larian Kesyukuran sejauh kira-kira 170 kilometer dari pekarangan Istana Kehakiman, Presint 3, menuju ke Muar, Johor sebagai tanda kesyukuran selepas melalui perjuangan panjang membersihkan nama dan maruahnya.
Misi larian selama empat hari itu turut membawa matlamat kebajikan dengan sasaran mengumpul dana sebanyak RM200,000 bagi membantu penduduk di kawasan Parlimen Muar.
Katanya, larian itu juga sebagai tanda penghargaan terhadap institusi kehakiman negara selepas berdepan pertuduhan selama enam tahun sebelum berjaya membersihkan namanya.
“Di sinilah saya mendapatkan semula maruah dan integriti serta membersihkan nama saya selepas enam tahun berjuang mendapatkan keadilan.
“Dana yang dikumpulkan menerusi larian ini akan digunakan untuk membeli iPad kepada mahasiswa yang bakal melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi, selain menyediakan bakul makanan kepada golongan yang memerlukan,” katanya seperti dilaporkan media.
Dalam pada itu, Syed Saddiq berkata, perjalanan untuk mengumpul dana itu baru sahaja bermula dan berharap lebih ramai yang tampil untuk bersama-sama menyumbang di lariankesyukuranmuar.com seterusnya mencapai sasaran yang ditetapkan.
Awal pagi ini, Syed Saddiq memulakan larian dari Labu dan tiba di pusat beli-belah Amcorp Mall di Seremban kira-kira jam 9.15 pagi tadi sebelum berhenti rehat. Beliau dijangka menyambung larian jam 5 petang ini menuju ke Pedas dan akan berhenti di stesen minyak Petron.






