PERIKATAN Nasional (PN) akan memulakan tindakan disiplin terhadap parti Bersatu atas dakwaan melakukan tindakan yang bertentangan dengan kepentingan gabungan itu.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, tindakan berkenaan akan dilaksanakan mengikut Fasal 15 Perlembagaan PN, dengan notis berkaitan dikemukakan kepada Bersatu dalam tempoh terdekat.
Menurut beliau, Bersatu akan diberikan tempoh untuk mengemukakan penjelasan berhubung pertuduhan sebelum sebarang keputusan lanjut dibuat.
Beliau berkata, tindakan disiplin itu boleh membawa kepada hukuman amaran, penggantungan atau pemecatan Bersatu daripada gabungan berkenaan.
Ketetapan itu dipersetujui dalam Mesyuarat Tergempar Majlis Tertinggi PN yang berlangsung malam ini, lapor BH.
Sementara itu, Takiyuddin memaklumkan, PN akan menggunakan logo gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka susulan perintah Mahkamah Tinggi yang menangguhkan pelaksanaan tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) terhadap pendaftarannya.
Menurut beliau, keputusan tersebut turut dicapai dalam Mesyuarat Tergempar Majlis Tertinggi PN malam ini.
Tambahnya, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kedudukan PN yang boleh kembali beroperasi seperti biasa berikutan perintah mahkamah berkenaan.
“Disebabkan PN ‘is back‘, kita memutuskan untuk menggunakan logo PN dalam PRN Melaka,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat tersebut, lapor Sinar Harian.
Mesyuarat berkenaan diadakan ketika hubungan antara PN dan Bersatu berdepan kemelut, termasuk pertikaian mengenai kesahihan mesyuarat susulan pembatalan pendaftaran gabungan itu oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).
Sebelum ini, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mempersoalkan kesahihan mesyuarat tergempar itu dengan menyatakan perintah penggantungan pelaksanaan yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tidak bermakna pendaftaran PN dipulihkan secara automatik.
Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebelum ini turut mempersoalkan kesediaan Bersatu untuk terus bersama gabungan itu susulan perkembangan sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada Ogos lalu.
“Dengan apa yang berlaku sejak akhir-akhir ini, sejak PRN Negeri Sembilan, ada hati lagi ke (Bersatu) dengan Perikatan Nasional ni?,” katanya ketika tiba untuk menghadiri mesyuarat tergempar itu malam ini.
Ahmad Samsuri sebelum itu memaklumkan PN sudah menjemput Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menghadiri mesyuarat berkenaan bagi mencari kata sepakat dalam menangani kemelut dalaman gabungan itu.
Pertemuan itu berlangsung selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 22 Oktober lalu menangguhkan pelaksanaan pembatalan pendaftaran PN sementara menunggu keputusan semakan kehakiman.
Persiapan menghadapi PRN Melaka turut menjadi antara perkara yang dijadual dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan.





