SEORANG remaja lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Machang hari ini atas pertuduhan melakukan perbuatan kelucahan melampau dengan menunjukkan kemaluannya kepada seorang wanita berusia 38 tahun, minggu lalu.
Tertuduh berusia 17 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.
Mengikut pertuduhan, remaja itu didakwa melondehkan seluarnya sehingga menampakkan kemaluan kepada wanita berkenaan di atas jambatan Kampung Sungai Sok, di Machang, kira-kira jam 1 tengah hari pada 20 Oktober lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Hazim Aqifullah Mohd Amran, manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Azrizal Hamzi.
Terdahulu, Ahmad Hazim mencadangkan jaminan RM3,000 terhadap tertuduh.
Bagaimanapun, Mohd Azrizal dalam rayuannya memohon supaya jaminan ditetapkan pada kadar yang tidak membebankan, mengambil kira tertuduh yang bekerja kampung dengan pendapatan kira-kira RM20 hingga RM50 sehari.
Beliau berkata, anak guamnya turut perlu menyara isterinya yang berusia 14 tahun.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin, iaitu waris penama kanak-kanak.
Mahkamah menetapkan 18 November depan bagi pembentangan laporan akhlak daripada pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), fakta kes dan perintah.
Tertuduh membayar jaminan yang ditetapkan mahkamah.





