KETUA Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh akan mengemukakan representasi kedua secara terus kepada Peguam Negara selepas permohonan awalnya untuk menggugurkan pertuduhan menyebabkan ketakutan awam ditolak pihak pendakwaan.
Perkara itu dimaklumkan Pengarah Pendakwaan Pulau Pinang, Muna Mohamed Jaafar ketika prosiding di hadapan Majistret Roshayati Radellah di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam pagi ini.
Muna berkata, pihak pendakwaan sudah berbincang dengan pasukan peguam Dr Muhamad Akmal dan akan memaklumkan perkembangan lanjut kepada mahkamah.
Peguam utama Dr Muhammad Akmal, Aizat Azam pula berkata, pihaknya menerima arahan daripada anak guamnya untuk mengemukakan representasi kedua secara terus kepada Peguam Negara susulan keputusan menolak representasi terdahulu.
“Hari ini, kami dimaklumkan mengenai keputusan berhubung representasi yang dikemukakan sebelum ini bagi pihak anak guam kami.
“Susulan penolakan representasi itu, kami menerima arahan daripada anak guam untuk mengemukakan representasi kedua secara terus kepada Peguam Negara,” katanya, lapor NST.
Muna berkata, pihak pendakwaan tidak membantah sekiranya pihak pembelaan mahu mengemukakan representasi baharu, malah beliau sendiri akan menyerahkannya kepada Peguam Negara.
Mahkamah menetapkan 4 Januari tahun depan bagi keputusan berhubung representasi berkenaan.
Pada 22 Ogos tahun lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membuat kenyataan di Facebook yang didakwa menyebabkan ketakutan awam.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 11 Jun lalu, Dr Muhamad Akmal dilaporkan memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Peguam Negara untuk mendakwanya di mahkamah.
Aizat berkata, representasi pertama dikemukakan kira-kira 10 bulan lalu. Selepas permohonan itu ditolak, pihaknya mahu mengemukakan fakta, pandangan serta pendapat perundangan kepada Peguam Negara melalui representasi kedua.
Menurutnya, kes berkenaan sudah berlarutan lebih setahun, namun tarikh perbicaraan masih belum ditetapkan.
Beliau turut memaklumkan bahawa pihaknya memfailkan semakan kehakiman berkaitan bidang kuasa dan kuasa Peguam Negara untuk menjalankan pendakwaan serta memulakan pertuduhan terhadap anak guamnya.
Kes itu masih pada peringkat pengurusan kes, manakala pengurusan seterusnya dijadualkan berlangsung secara dalam talian di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang esok.
Aizat berkata, pihaknya akan memaklumkan kepada mahkamah bahawa mereka memerlukan satu lagi tarikh bagi menunggu keputusan berhubung representasi kedua yang dirancang itu.





