Anwar harap hubungan Malaysia-Brazil terus diperkukuh di bawah Lula

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap hubungan Malaysia dan Brazil dapat diperkukuh menerusi kerjasama lebih erat dalam bidang perdagangan, pelaburan serta hubungan antara ASEAN dan Amerika Latin.

Harapan itu disuarakan ketika beliau mengucapkan tahniah kepada Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva susulan kemenangan bersejarahnya dalam pilihan raya presiden negara berkenaan.

Anwar berkata, kemenangan itu memberikan mandat baharu kepada Lula untuk meneruskan kepemimpinannya selepas melalui persaingan pilihan raya yang sengit.

Beliau turut menghargai komitmen berterusan Lula terhadap keadilan sosial, usaha membasmi kemiskinan serta memperjuangkan suara negara membangun di peringkat antarabangsa.

“Saya sentiasa menghargai persahabatan kami dan berkongsi keyakinan bahawa negara-negara Selatan Global perlu mempunyai suara lebih lantang dalam membentuk tatanan antarabangsa yang lebih adil,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau hari ini.

Lula memenangi pilihan raya Presiden Brazil bagi penggal keempat selepas menewaskan pencabarnya, Senator Flavio Bolsonaro hari ini. Beliau mencatat sejarah memenangi jawatan itu bagi empat penggal akan kekal sehingga 2030.

Anwar berkata, Malaysia dan Brazil mempunyai banyak ruang untuk memperluas kerjasama, termasuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan serta memperkukuh hubungan antara ASEAN dengan rantau Amerika Latin.

“Banyak yang boleh kita lakukan bersama, termasuk memperkukuh perdagangan dan pelaburan, memajukan kerjasama antara ASEAN dan Amerika Latin serta memberikan makna lebih besar kepada perkongsian antara kedua-dua negara,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here