Kes tembak di KLIA: Rayuan Hafizul ditolak, jalani hukuman penjara tujuh tahun

BEKAS pengurus agensi pelancongan, Hafizul Hawari, 39, perlu menjalani hukuman penjara tujuh tahun bagi kes tembakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas selesai menjalani hukuman penjara enam tahun bagi kesalahan berasingan di Kota Bharu.

Keputusan itu dibuat Mahkamah Tinggi Shah Alam yang menolak rayuannya supaya hukuman bagi kes KLIA dikira bermula dari tarikh dia ditahan pada 2024.

Dalam alasan penghakiman bertarikh 19 Oktober, Hakim Datuk Seri Shamsulbahri Ibrahim mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen Sepang pada 5 Disember tahun lalu bahawa hukuman bagi kes KLIA bermula selepas Hafizul selesai menjalani hukuman penjara sedia ada.

Rayuan yang difailkan pada 16 Disember tahun lalu itu tidak mencabar sabitan atau tempoh hukuman, sebaliknya hanya mempersoalkan tarikh permulaan hukuman penjara bagi kes berkenaan.

Hafizul mengaku bersalah atas pertuduhan cubaan membunuh bekas isterinya, Farah Md Isa, 40, serta dengan sengaja menyebabkan cedera parah terhadap pengawal peribadi wanita itu, Mohd Nur Hadith Zaini, di Terminal 1 KLIA pada 14 April 2024.

Dia dijatuhi hukuman penjara lima tahun bagi kesalahan cubaan membunuh dan tujuh tahun bagi kesalahan sengaja menyebabkan cedera parah menggunakan senjata berbahaya.

Kedua-dua hukuman itu diperintahkan berjalan serentak, dengan hukuman penjara tujuh tahun bermula selepas dia selesai menjalani hukuman bagi kes di Kota Bharu, lapor Harian Metro.

Pada 24 Februari tahun lalu, Hafizul dijatuhi hukuman penjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu atas tujuh kesalahan, termasuk pemilikan secara haram sepucuk pistol Glock 19 buatan Austria, 33 butir peluru automatik, mercun bola, tiga kad pengenalan milik individu lain serta memandu kenderaan menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Hukuman itu diperintahkan bermula dari tarikh dia ditahan pada 15 April 2024.

Dalam kejadian di KLIA, Farah tiba di Terminal 1 pada jam 1.09 pagi 14 April 2024 selepas menunaikan umrah dengan ditemani Nur Hadith.

Hafizul yang mengetahui kepulangan Farah menunggu berhampiran sebuah tiang berdekatan lif di Aras 3 terminal utama sebelum melepaskan tembakan ke arah kedua-dua mangsa.

Nur Hadith melindungi Farah, namun terkena tembakan di bahagian abdomen. Peluru itu menembusi badannya dan mencederakan ususnya sehingga menyebabkan dia dirawat selama 13 hari di Hospital Cyberjaya.

Hafizul kemudian melarikan diri dari tempat kejadian sebelum ditahan di Kota Bharu ketika memandu kenderaan menggunakan nombor pendaftaran palsu.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here