Ahmad Samsuri belum fikir soal jadi calon PM, fokus kepada kemenangan PN dalam PRU-16

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar belum memikirkan kemungkinan dirinya dicalonkan sebagai Perdana Menteri sekiranya gabungan itu berjaya memenangi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

Sebaliknya, Menteri Besar Terengganu itu berkata, keutamaan PN ketika ini adalah memastikan kemenangan dalam pilihan raya sebelum kepimpinan gabungan menentukan individu yang bakal menerajui kerajaan Persekutuan.

“Kami belum membuat keputusan mengenai perkara itu. Kita akan membincangkannya apabila tiba masanya,” katanya pada sidang media sempena Forum Ekonomi dan Perniagaan Kumpulan Kerajaan Empat Negeri (SG4) 2026 di ibu negara hari ini, lapor FMT.

Ahmad Samsuri berkata demikian ketika ditanya sama ada bersedia memegang jawatan Perdana Menteri sekiranya PN berjaya membentuk kerajaan selepas PRU-16.

Isu calon Perdana Menteri daripada PN kembali menjadi perhatian apabila timbul gesaan supaya Pas selaku tonggak utama gabungan itu, menamakan calon lebih awal menjelang pilihan raya umum akan datang.

Selain Ahmad Samsuri, Presiden Parti Wawasan Negara, Datuk Seri Hamzah Zainudin turut disebut oleh penganalisis politik sebagai antara individu yang berpotensi menjadi calon Perdana Menteri daripada PN.

Pada bulan lalu, bekas Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming meramalkan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berpotensi menjadi Perdana Menteri sekiranya Barisan Nasional (BN) dan PN membentuk pakatan serta memenangi PRU-16.

Mengulas kemungkinan dirinya memikul tanggungjawab itu, Ahmad Samsuri yang lebih dikenali sebagai Dr Sam berkata, sukar untuk memberikan jawapan secara langsung, namun seseorang perlu bersedia sekiranya diberikan amanah.

“Jika diberikan peluang atau tanggungjawab, kita perlu bersedia menerima apa-apa cabaran dan bersikap terbuka terhadapnya,” katanya.

Mengenai peluang PN mengambil alih Putrajaya pada PRU-16, beliau berkata, tiada pihak boleh menjamin kemenangan, sama ada parti pemerintah mahupun pembangkang.

Bagaimanapun, Ahmad Samsuri mendakwa PN mempunyai peluang lebih baik berbanding PRU-15 berdasarkan penilaian angka, data serta kajian ahli sains politik dan penyelidik, sekiranya pilihan raya berlangsung secara adil.

“Kami mempunyai peluang lebih baik sekiranya wujud padang permainan yang sama rata,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here