Projek jalan luar bandar: Penggunaan istilah ‘sakau’ boleh jejas nama baik KKDW -Zahid

DAKWAAN berhubung pengurusan kewangan dan projek jalan luar bandar perlu dinilai berdasarkan fakta kerana tuduhan ketirisan, rasuah serta penggunaan istilah seperti ‘sakau’ boleh menjejaskan nama baik Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan integriti penjawat awam.

Timbalan Perdana Menteri yang juga  Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut menjelaskan, peruntukan RM300 juta diumumkan Ketua Setiausaha Perbendaharaan bukan peruntukan tambahan atau suntikan dana baharu, sebaliknya kebenaran berbelanja melalui Surat Kuasa Berbelanja (SKB).

Katanya, perbelajaan KKDW bagi program jalan luar bandar (JALB) dari 2023 hingga 2025 masih di bawah jumlah peruntukan selepas pindaan, bukan terlebih RM2.1 bilion seperti didakwa.

Beliau berkata,  perbelanjaan sebenar bagi tempoh lima tahun berkenaan berjumlah RM6.108 bilion, berbanding peruntukan dipinda sebanyak RM6.143 bilion.

“Apabila dibandingkan dengan peruntukan selepas pindaan, perbelanjaan sebenar masih di bawah jumlah yang tersedia, dengan baki kira-kira RM34.3 juta,” katanya menggulung perbahasan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat.

Beliau berkata angka RM2.1 bilion itu timbul apabila perbelanjaan sebenar RM6.108 bilion dibandingkan dengan peruntukan asal kira-kira RM3.982 bilion tanpa mengambil kira peruntukan yang dipinda.

Ahmad Zahid menegaskan tiada projek yang diluluskan dibatalkan atas alasan berkenaan.

“Sesuatu projek dilaksanakan berdasarkan kelulusan dan peruntukan yang diumumkan. Jika projek tidak tersenarai dalam peruntukan yang diluluskan, ia sememangnya tidak dilaksanakan,” katanya.

Bagaimanapun, Ahad Zahid mendakwa ada projek di Sabah dan Sarawak pada tahun ini diarah dibatalkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian, walaupun peruntukan tersedia, menyebabkan kedua-dua negeri itu menjadi mangsa.

Beliau turut bersetuju dengan cadangan Manndzri Nasib (BN-Tenggara) supaya Ketua Setiausaha Perbendaharaan, ketua setiausaha kementerian  dan KKDW mengeluarkan kenyataan bersama bagi menjelaskan isu berkenaan.

Beliau turut mencadangkan ketiga-tiga pihak bertemu dengan Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang untuk memberikan penjelasan terperinci, bagi mengelakkan kekeliruan dan persepsi seolah-olah berlaku pertelingkahan antara pihak terbabit.

“Jumpa, jelaskan. Perkara ini betul-betul. Kalau tidak, seolah-olah ada semacam perbalahan,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here