SIASATAN kes kematian Noorizwan Zulkefly semasa berada dalam tahanan polis kini diambil alih oleh Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Pengarah JSJ Bukit Aman Datuk M. Kumar berkata kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 331 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan dengan sengaja menyebabkan cedera parah bagi memeras pengakuan bersalah atau bagi memaksa supaya harta dipulangkan.
Beliau berkata klasifikasi itu dibuat selepas hasil rakaman percakapan Pakar Perunding Perubatan Forensik Hospital Canselor Tuanku Muhriz yang menjalankan bedah siasat mengesahkan terdapat kecederaan luaran di beberapa bahagian tubuh si mati, dengan corak kecederaan tersebut adalah selari dengan trauma tumpul dan bukan akibat pelakuan sendiri.
“Bagaimanapun laporan lengkap bedah siasat bagi mengesahkan punca kematian masih belum diperolehi dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menunggu maklumat lanjut daripada pihak hospital berhubung perkara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kumar berkata siasatan masih diteruskan untuk mengenal pasti pegawai dan anggota polis yang terlibat dalam pengendalian serta pengurusan mangsa semasa dalam tahanan di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras.
“Siasatan akan dijalankan secara menyeluruh dan profesional demi memastikan keadilan jenayah ditegakkan berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.
Beliau berkata PDRM komited dalam memastikan ketelusan serta integriti siasatan sentiasa diutamakan bagi menjamin keadilan tanpa berpihak kepada mana-mana individu dan tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk salah laku.





