Dua pegawai penguat kuasa antara lima direman kes rasuah RM1 juta

DUA pegawai sebuah agensi penguat kuasa Persekutuan antara lima individu yang direman selama lima hari bagi membantu siasatan kes disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM1 juta daripada sebuah agensi pekerja asing.

Perintah reman sehingga 1 November itu dikeluarkan Majistret Dhilip Nair A/L RN Atchuthan selepas permohonan dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pagi tadi.

SEBAHAGIAN daripada lima individu termasuk dua angota agensi penguat kuasa Persekutuan dibawa untuk mendapat perintah reman di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pagi ini. GAMBAR: SPRM

SPRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, tiga lagi individu yang ditahan terdiri daripada ejen pekerja asing menjadikan keseluruhan suspek membabitkan tiga lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 40 hingga 60-an.

“Kesemua mereka ditahan dalam operasi berasingan di sekitar Selangor dan Johor antara pukul 10 pagi hingga 4 petang semalam.

“Siasatan awal mendapati kesemua suspek dipercayai bersubahat melakukan perbuatan itu antara 2018 hingga 2025 sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pekerja asing di bawah seliaan agensi berkenaan,” kata kenyataan itu.

Sepanjang tempoh itu, SPRM memaklumkan, sebanyak 44 transaksi pemindahan wang secara dalam talian bernilai kira-kira RM1 juta dipercayai berlaku.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.

Beliau berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 16(a)(B) dan Seksyen 16(b)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Katanya, siasatan itu bermula daripada operasi yang dibangunkan Bahagian Perisikan SPRM.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here