SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang penjawat awam kerana disyaki meminta dan menerima rasuah bernilai kira-kira RM30 juta daripada beberapa buah syarikat.
Suspek dipercayai meminta dan menerima suapan berkenaan bagi membantu mengurangkan bayaran cukai taksiran syarikat-syarikat terbabit yang berjumlah RM140 juta.

Perintah reman selama enam hari sehingga 26 Oktober depan terhadap suspek telah dikeluarkan oleh Majistret Ezrene Zakariah di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 50-an yang memegang jawatan Pengarah Unit itu ditahan kira-kira jam 12.30 tengah malam tadi ketika bersembunyi di sebuah hotel di sekitar Lembah Klang.

Menurutnya, perbuatan tersebut disyaki dilakukan sepanjang tahun 2025 hingga 2026.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan dan memaklumkan kes ini disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.





